
LONDON 24 Jun - Sebuah laman web Rusia bertindak luar batasan apabila mendakwa mereka mempunyai semua maklumat peribadi serta sulit mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 dan mahu menjualnya dengan harga 1.5 juta pound (RM8.8 juta).
Portal Mail Online mendedahkan, laman yang tidak dinamakan itu mendakwa, semua maklumat tersebut akan dijual secara rahsia kepada mana-mana pihak yang berminat dengan menggunakan Pay-Pal.
Maklumat serta dokumen lain berkaitan dengan MH17 itu dipercayai dimiliki oleh agensi penyiasatan yang kemudian bertindak cuba mengaut keuntungan dengan menjualnya kepada orang awam.
Antara maklumat yang dipercayai cuba dijual adalah keterangan peribadi penumpang sebelum dan selepas tragedi itu, gambar serta video, selain daripada dokumen tentang hasil siasatan patologi selepas bedah siasat.
Tawaran di laman web itu disiarkan dalam bahasa Inggeris dan Rusia.Tindakan tersebut turut mengundang rasa marah dan menambahkan kesedihan dalam kalangan ahli keluarga mangsa yang telah kehilangan insan tersayang dalam tragedi berkenaan.
Pesawat Boeing 777 itu sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu, sekali gus mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan.
Ukraine dan Amerika Syarikat menuduh kumpulan pemisah pro-Rusia menembak jatuh pesawat tersebut, namun dakwaan itu dinafikan oleh Moscow.
Dalam pada itu, Belanda dipercayai sedang mengadakan perbincangan dengan sekutunya agar sebuah tribunal antarabangsa ditubuhkan untuk mendakwa dalang yang terlibat menembak jatuh pesawat MH17 kerana dua pertiga penumpang maut adalah rakyatnya.
0 comments:
Catat Ulasan