
Sekiranya tahi bintang menghentam bumi atau berlakunya bencana alam seperti tsunami dan gempa bumi, atau tercetusnya perang nuklear, di manakah tempat paling selamat untuk kita berlindung?
Persoalan itu adalah topik paling hangat setiap kali membincangkan situasi bencana yang berupaya melenyapkan manusia daripada muka bumi. Mungkin persoalan itu terjawab apabila sebuah syarikat Amerika Syarikat (AS), Vivos membina beberapa kubu bawah tanah sebagai persediaan berdepan situasi bencana.
Pengasas Vivos, Robert Vicinio baru-baru ini memperkenalkan kubu terbaru syarikat itu yang dikhususkan untuk mereka yang mahukan kemewahan dan keselesaan walaupun dunia hampir musnah. Kubu perlindungan yang dikenali sebagai Europa One itu dibina berhampiran kampung Rothenstein di Jerman dan dilengkapi pelbagai ciri kemewahan.
Kompleks bawah tanah itu dilengkapi dengan kolam renang, teater, gimnasium, restoran, apartmen dan perkhidmatan helikopter persendirian. Kubu seluas kira-kira 30 hektar itu juga berupaya menahan serangan nuklear, senjata kimia, gempa bumi, tsunami dan apa sahaja bencana alam atau serangan.
Menurut kenyataan syarikat itu, kompleks Europa One menyerupai rumah agam atau kapal persiaran mewah dan ia mempunyai kemampuan untuk melindungi penghuninya.
Harga untuk setiap unit apartmen di dalam kompleks perlindungan itu tidak didedahkan tetapi kos pembinaannya dianggarkan berjumlah AS$1.1 bilion (RM4.13 bilion), sekali gus bermakna hanya mereka yang berstatus bilionair sahaja mampu memilikinya.
Setiap keluarga di dalam kompleks bawah tanah itu akan diberi apartmen seluas 232 meter persegi dan mereka boleh reka sendiri ruang dalaman kediaman itu mengikut cita rasa masing-masing. Pelanggan boleh memilih untuk membina kolam renang, teater atau bilik tidur mewah.Setiap apartmen dihubungkan dengan hospital, restoran dan kedai kek.
Kompleks itu turut dilengkapi laluan perhubungan, tempat menyimpan wain, bilik beribadat, kelas, stesen televisyen dan pusat tahanan. Setiap keluarga perlu membayar kos untuk apartmen mereka dan kos untuk menguruskan kompleks itu, termasuk gaji pekerja serta kos lain.
Menurut Vivos, kompleks itu mempunyai jaringan terowong yang sistematik dan lengkap dengan sistem keselamatan serta pintu kalis letupan dan kedap udara. Ia mempunyai sistem penapisan air dan jana kuasa sendiri serta sistem pengudaraan, penapisan udara, kawalan suhu dan komunikasi canggih.
Sekiranya bencana atau perang nuklear meletus, setiap keluarga yang membeli apartmen berkenaan akan diterbangkan ke sebuah lapangan terbang berhampiran. Mereka kemudiannya dibawa menaiki helikopter ke kubu berkenaan.
Pusat perlindungan itu pada mulanya dibina bekas Kesatuan Soviet ketika era Perang Dingin untuk dijadikan kubu simpanan senjata. Vivos menjelaskan, pusat perlindungan itu siap sepenuhnya dan boleh beroperasi pada bila-bila masa.
Syarikat itu juga sudah membina beberapa lagi kubu perlindungan bawah tanah yang lebih murah. Kubu perlindungan bawah tanah yang pertama disiapkan syarikat itu terletak di Indiana, AS.
Untuk kubu kelas ekonomi, harga yang ditawarkan untuk seorang pelanggan dewasa ialah sekitar AS$35,000 (RM131,505) dan AS$25,000 (RM93,942) untuk setiap kanak-kanak. Bagaimanapun, setiap keluarga akan ditapis terlebih dahulu dan mereka hanya dipilih berdasarkan kemahiran masing-masing.
Setiap kubu itu mempunyai simpanan makanan dan sumber lain yang boleh menampung kehidupan selama enam bulan hingga satu tahun. Syarikat itu menyasarkan untuk memuatkan seramai 6,000 penghuni di semua kubu perlindungan mereka.
GAMBAR KUBU VIVOS YANG DILENGKAPI DENGAN PELBAGAI KEMUDAHAN



0 comments:
Catat Ulasan