Blog Yang Memaparkan Isu Isu Semasa Yang Tular (Viral)

29 Mei 2014

P.RAMLEE TERUS KESUNYIAN..


Hari ini genap 41 tahun pemergian Seniman Agung Tan Sri P Ramlee meninggalkan persada hiburan tanah air. Allahyarham P Ramlee atau nama sebenarnya, Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh yang dilahirkan tanggal 22 Mac 1929 di Pulau Pinang meninggalkan kita pada usia masih muda iaitu 44 tahun pada awal pagi 29 Mei 1973 kerana serangan jantung.

Walaupun sudah empat dekad pemergian Allahyarham, kita masih belum bertemu ikon seni sehebat P Ramlee sampai hari ini. Allahyarham juga wajar diiktiraf sebagai ikon rakyat Malaysia dan ikon 1Malaysia kerana filem dan muziknya digemari masyarakat pelbagai kaum, bangsa dan agama di negara ini.

Tidak dapat dinafikan, karya P Ramlee menerusi filem seperti Madu Tiga, Ibu Mertuaku, Nujum Pak Belalang, Penarek Becha, Semerah Padi, Pendekar Bujang Lapok dan Anakku Sazali masih diminati hingga hari ini.

Selain mengiktiraf tarikh 29 Mei sebagai sambutan Hari Seniman, pelbagai usaha dilakukan kerajaan dalam menghargai sumbangan seniman unik berkenaan dalam memartabatkan bidang seni tempatan antaranya penubuhan Pustaka Peringatan P Ramlee, Jalan P Ramlee, Auditorium P Ramlee dan Pawagam Mini P Ramlee.

Selain itu, penganjuran Festival Filem Malaysia juga diadakan Anugerah P Ramlee, selain pelbagai kegiatan bercorak nyanyian dan persembahan pentas, selain paling besar ialah penghargaan menerusi darjah kebesaran yang membawa gelaran Tan Sri.


Bagi menghargai jasa dan sumbangan P Ramlee dalam memartabatkan bidang seni, mantan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim ada mengumumkan mengenai penubuhan Yayasan Seniman P Ramlee pada sambutan Hari Seniman Malaysia di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Bermula dengan dana sebanyak RM1 juta, beliau dipetik sebagai berkata, yayasan itu ditubuhkan sempena sambutan Hari Seniman 2012, sebanyak RM500,000 daripada jumlah dana ditampung Yayasan al-Bukhari dan selebihnya dibiayai kementerian.

Ditubuhkan berlandaskan objektif mengenang jasa seniman agung tanah air itu di atas sumbangan besarnya membangunkan industri seni negara, dana dalam yayasan itu nanti boleh digunakan untuk menampung segala aktiviti seni dan budaya serta menjaga kebajikan artis tempatan secara berterusan tanpa mengira cabang seni dan bangsa.

Turut diumumkan Dr Rais ketika itu ialah penubuhan Kursi P Ramlee iaitu sebuah Pusat Penyelidikan dan Kesarjanaan dalam bidang artistik dengan peruntukan dana RM3 juta. Kursi P Ramlee yang ditempatkan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) khusus untuk penyelidikan yang berkaitan dengan bidang seni dan warisan.

Menerusi penubuhan Kursi P Ramlee itu, ia dapat menyediakan pengajian dalam bidang ilmiah dan akademik bagi memperkasakan lagi industri seni tanah air pada masa depan. Bahkan, ia sekali gus dapat membuka mata masyarakat khususnya ibu bapa dalam melihat cabang seni sebagai kerjaya yang boleh diceburi anak-anak mereka.

Kini, seiring dengan masa berlalu, apa yang pernah diumumkan itu seakan-akan sepi. Tidak diketahui sejauh mana peratusan pelaksanaan penubuhan yayasan itu sudah disiapkan umpama ‘membisu seribu bahasa’.

Ikuti pandangan beberapa karyawan seni tempatan seperti Habsah Hassan, Datuk Yusof Haslam dan Norman KRU untuk berkongsi pandangan mengenai isu penubuhan Yayasan Seniman P Ramlee itu.

“Sampai hari ini, kita masih belum bertemu tokoh seni sehebat Allahyarham P Ramlee. Beliau adalah anak seni yang sangat menghargai bakat besar yang dikurniakan Allah padanya. Jasa dan sumbangannya pada bidang seni tanah air tidak ternilai sampai bila-bila pun.


Penulis lirik terkenal, Habsah Hassan


“Justeru, lebih banyak pengiktirafan dan penghargaan wajar diberikan, sekali gus menghargai sumbangan seniman hebat sepertinya pada bidang seni tempatan. Saya tidak faham kenapa kita tidak menghargai anak seni kita ketika mereka masih hidup?

Contohnya, P Ramlee sendiri meninggalkan kita sebagai seniman yang hampa dan hidup susah ketika akhir hayatnya dulu. Pada masa sama, saya ada mendengar mengenai penubuhan Yayasan Seniman P Ramlee dan Kursi P Ramlee tapi sampai hari ini senyap begitu saja. Pada pandangan saya, banyak cara untuk kita menghargai sumbangan P Ramlee.

“Kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk menjenamakan semula Yayasan Artis 1Malaysia di bawah pimpinan Datuk DJ Dave dan baru ditubuhkan itu kepada Yayasan P Ramlee sebagai mengiktiraf sumbangannya pada negara.

“Selain itu, lebih banyak kajian mendalam secara intelektual perlu dilakukan dalam menonjolkan P Ramlee sebagai tokoh seniman dalam bidang muzik, penciptaan lagu, nyanyian, lakonan dan pengarahan, sekali gus menjadi rujukan generasi akan datang.

“Jika kita ada kajian lengkap dan fakta yang mengupas mengenai ketokohan beliau dalam semua cabang seni yang diceburi, pasti tidak akan ada pihak yang sinikal mengenai usaha kerajaan untuk terus mengiktiraf dan menghargai sumbangan anak seni hebat ini dari semasa ke semasa,” katanya.


Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Datuk Yusof Haslam

“Saya memang pernah mendengar berita mengenai penubuhan Yayasan P Ramlee ini. Namun, kini tidak pasti sejauh mana penubuhannya sudah dilaksanakan. Kalau betul yayasan ini ada diwujudkan, saya melihat ia sebagai satu usaha yang baik kerana sekurang-kurangnya segala jasa yang pernah ditinggalkan Allahyarham Tan Sri P Ramlee kepada industri seni tanah air terus diingati.

“Secara tidak langsung, dengan adanya yayasan ini juga akan membuatkan generasi muda takkan lupa pada P Ramlee dan boleh meminjam semangat gigihnya dalam berkarya. Ternyata, hingga kini P Ramlee masih tiada penggantinya.

“P Ramlee adalah insan seni yang berbakat besar. Allahyarham seorang yang serba boleh dalam pelbagai cabang seni seperti mengarah, menyanyi, penciptaan lagu, bermain alat muzik serta mampu melakonkan apa saja watak.

“Jadi, golongan muda hari ini yang memilih karier sebagai anak seni haruslah versatil. Bahkan, jangan mudah berasa kecewa dengan kegagalan. Pada saya, dalam kehidupan ini memang Tuhan sudah aturkan ada pahit dan manisnya.

“Justeru, anggaplah segala kekecewaan itu sebagai dugaan dan keseimbangan dalam kehidupan. Macam P Ramlee juga, arwah pernah mengalami era kejatuhan, namun tetap berusaha untuk bangkit sehingga ke akhir hayatnya,” katanya.


Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Norman Abdul Halim

“Saya melihat cadangan untuk penubuhan Yayasan P Ramlee ini sebagai usaha yang baik. Bagaimanapun, diharapkan pihak yang menguruskannya dapat memikul tanggungjawab dengan betul.

“Ini kerana, apabila sebut mengenai yayasan ia pastinya membabitkan dana dan kewangan. Jadi, pada sesiapa yang menguruskannya nanti perlulah bersikap telus dan sumber tabungan yang ada itu bolehlah disalurkan kepada semua anak seni di negara ini.

“Dalam soal ini, karier sebagai insan seni terutama pelakon lebih menjurus ke arah populariti. Selalunya, apabila sampai pada satu tahap usia, maka tawaran sudah mula berkurangan. Jadi, dengan adanya yayasan tabungan seperti ini, ia diharap dapat membantu golongan artis ini terutama membabitkan kebajikan serta masalah kesihatan dihadapi mereka.

“Allahyarham P Ramlee pula pada saya ikon seni yang berjiwa besar. Beliau memiliki bakat dalam pelbagai cabang seni yang harus dicontohi golongan anak seni generasi baru tanah air. Mempelbagai bakat seni dan tidak terikat pada satu saja sangat penting kerana kini saingan dan cabaran yang perlu dihadapi agak besar serta sengit.

“Bagi memastikan diri mampu bersaing dan bertahan dalam industri, maka perlu nilai cabang seni lain yang mampu dikembangkan. Apatah lagi, peminat dan penonton sekarang cita rasanya sering berubah.

“Jadi, dalam soal ini kalau menghasilkan filem sekali pun, haruslah mengkaji apa yang mampu menarik minat masyarakat.

Bahkan, paling utama bagi memastikan sesuatu filem dihasilkan itu berjaya ialah mutu dan kualitinya. Penonton kini bersikap agak memilih, jadi kualiti sangat penting untuk diutamakan,” katanya.
Share:

0 comments:

Page Views

Viral Vision Media Co.. Dikuasakan oleh Blogger.
Propellerads

FEMES BLOG

KISAH SERAM !

TONTON INI