Blog Yang Memaparkan Isu Isu Semasa Yang Tular (Viral)

22 Mei 2014

TAK MEROKOK TAK MACHO !!


Apalah sangat denda di sekolah jika pelajar ditangkap menghisap rokok secara curi-curi. SHUHADA MANSOR percaya kurang kesedaran diri dan balasan tak setimpal antara sebab kita tidak takut untuk terus buat salah walaupun hakikatnya perkara itu dilarang. Apa jalan penyelesaiannya?

Membazir wang, merosakkan tubuh badan, menjejaskan kesihatan dan beberapa perkara negatif lain bersangkut paut dengan isu ini. Itu antara keluhan yang sering kita dengar apabila bertanyakan perihal merokok kepada perokok yang sudah lanjut usia. Memanglah penyesalan tidak memerlukan masa tertentu untuk kita sedar kesilapan diri tetapi bagaimana untuk memberitahu anak muda bahawa merokok merugikan?

Tidak rugi untuk rasa menyesal walaupun sudah berusia tetapi logiknya, apabila sudah lama merokok, kesan buruk dan risiko tinggi pasti menanti pelakunya. Untuk elakkan menyesal pada kemudian hari, apa perlu kita lakukan untuk mengajak rakan sebaya, saudara-mara ataupun diri sendiri berhenti merokok? Jika kita nekad, pasti ada jalannya.

Meskipun beribu-ribu kajian dan data statistik kematian membabitkan perokok dijalankan, namun laporan ini tidak sedikit pun terkesan kepada remaja, bahkan perokok baru dicatatkan semakin meningkat setiap hari sama ada dalam kalangan lelaki mahupun wanita.


Kebanyakan perokok baru dikenal pasti seawal usia belasan tahun, malah ada antaranya terjebak seawal kanak-kanak membuktikan isu ini tidak pernah dipandang serius generasi muda. Lebih teruk apabila tabiat merokok dalam kalangan remaja negara ini semakin sukar dikawal apabila terdapat sebahagian daripada mereka tanpa segan-silu melakukan perbuatan itu di kawasan sekolah.


SEKOLAH ‘PORT’ POPULAR

Rata-rata perokok tegar yang ditemui penulis berkongsi pengalaman dengan menyatakan, sekolah adalah ‘port’ pertama mereka merokok. Kajian turut menjelaskan sejumlah 14 peratus remaja merokok ini majoritinya bermula dari sekolah. Rasa tercabar, terpengaruh dengan rakan antara sebab utama budaya tidak sihat ini terus menular. Kenapa bermula di sekolah? Beberapa kajian mendapati, kita (Gen Y) lebih banyak menghabiskan masa bersama rakan sebaya sama ada di sekolah atau pusat tuisyen berbanding di rumah.

Aktiviti kokurikulum ataupun kelab dan persatuan anjuran sekolah merapatkan lagi hubungan kita dan rakan sebaya. Fasa remaja terkenal dengan sikap memberontak. Oleh itu, sekolah dikatakan antara ‘port’ pertama sering disalah guna walaupun ia diklasifikasikan sebagai kawasan larangan merokok.

Berstatus Gen Y pada zaman serba canggih ini, apa kata kita pesongkan tanggapan masyarakat terhadap remaja yang dilihat sebagai pemberontak emosi, suka melanggar peraturan dan segala macam aktiviti kurang bermoral dikaitkan. Elakkan diri daripada terjebak dengan budaya tidak sihat ini. Tiada guna menyesal pada kemudian hari seperti luahan yang kita dengar daripada perokok tegar yang sudah 20-30 tahun merokok. Mustahil untuk putarkan masa kembali, wang yang dibazirkan pasti tidak akan diperoleh semula.


TAK MACHO TAK MEROKOK

Tidak keterlaluan jika penulis katakan, hidup kita bergantung kepada teknologi sepenuhnya sama ada untuk mencari maklumat, berhibur ataupun bersosial semuanya ada kaitan dengan media massa. Jangan mudah terpedaya dengan segala apa yang dipertontonkan di kaca televisyen ataupun hasutan rakan sebaya. Jadilah Gen Y yang berprinsip.

Sifat ‘jantan’ dan ‘macho’ yang dipaparkan kepada kebanyakan perokok sejak usia muda oleh iklan komersial dan karakter pelakon dalam filem serta drama menyumbang kepada peningkatan perokok baru setiap tahun.

Laporan daripada Buletin Umum Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia (Penawar Racun), pada Mac 2004 menunjukkan 14 peratus daripada remaja di seluruh dunia adalah perokok.

Di Malaysia pula, lebih kurang lapan peratus daripada 4.6 juta perokok terdiri daripada remaja. Lebih memeranjatkan apabila didapati seorang daripada setiap dua lelaki dewasa di negara kita yang berusia antara 25 hingga 64 tahun adalah perokok. Adakah anda tergolong antara mereka?


HADIAH UNTUK DIRI SENDIRI

Selama mana status anda sebagai perokok, akan wujud peluang untuk berhenti merokok sama ada baru berjinak-jinak atau sudah tegar, pasti ada jalan sekiranya mahu berhenti merokok. Mungkin mudah bagi perokok muda untuk berhenti kerana kurang ketagihannya tetapi tidak mustahil untuk yang sudah berusia.

Wujudkan satu tanda penghargaan untuk diri anda sekiranya berjaya. Beri hadiah atau habuan kepada diri sendiri sekiranya tidak lagi merokok untuk mendapatkan kepuasan hasil daripada kejayaan anda.

Elakkan berkawan rapat atau mudah terhasut dengan ajakan rakan yang merokok di sekolah. Aktifkan diri dengan aktiviti sukan sama ada di sekolah atau rakan luar. Pilih aktiviti yang anda suka dan lakukan secara berkumpulan untuk tambahkan keseronokan.

Sekiranya anda ‘ditangkap’ merokok di kawasan sekolah, denda dikenakan mungkin tidak seteruk sebatan. Ini antara punca kita tidak takut untuk terus melanggar peraturan. Penulis berpendapat, denda setimpal perlu diwujudkan seperti kes diadukan kepada pihak polis dikenakan denda atas budi bicara mereka. Pihak berkuasa bekerjasama dengan pengurusan sekolah untuk menangani masalah disiplin pelajar.

Jika anda bukan seorang perokok, anda boleh dilabel sebagai penyayang diri sendiri dan berjaya menjaga kesihatan diri. Usah tercabar dengan ejekan ‘skema’ di sekolah kerana tidak tergolong dalam kelompok ‘berani langgar peraturan’ kerana anda tahu apa yang terbaik dalam hidup dan masa depan anda.
Share:

0 comments:

Page Views

Viral Vision Media Co.. Dikuasakan oleh Blogger.
Propellerads

FEMES BLOG

KISAH SERAM !

TONTON INI