Gelaran Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2013 yang menjadi rebutan akhirnya menjadi milik pelakon kelahiran Singapura, Aaron Aziz, 38, yang merampas semula trofi yang pernah dimenanginya pada ABPBH 2011.
Pelakon yang dikenali menerusi filem KL Gangster 2 itu meraih 76,742 undi, sekali gus mengetepikan pencabar terdekatnya dalam kategori utama iaitu Zizan Razak, Shah Iskandar, Adi Putra, Dazrin Kamarudin dan Siti Saleha.
Kejayaan Aaron itu juga secara tidak langsung memberi tamparan hebat buat anak seni tempatan supaya bekerja lebih keras lagi untuk bersaing dengan artis dari luar seperti Singapura yang mencuba nasib di negara ini.
Secara peribadi, pemilik nama sebenar, Aaron Mustapha Aziz yang nampak sebak pada malam itu mengakui kejayaannya itu adalah milik peminat dan kelab peminat yang sentiasa memberi sokongan padu karier seninya, sejak dulu.
“Saya sendiri tidak menyangka kemenangan pada malam ini kerana karier seni juga bergerak agak perlahan ketika ini. Pada masa sama, saya juga menjangkakan Zizan Razak dan Shaheizy Sam yang akan menang besar pada malam ini tetapi ternyata trofi ini menjadi milik saya.
“Selain sokongan luar biasa pengundi yang bekerja keras mengundi, saya juga percaya kemenangan ini juga adalah rezeki daripada Allah,” katanya.
Kejayaan itu turut menyuntik semangat Aaron untuk terus berlakon dan sama-sama memartabatkan bidang seni tempatan.
“Saya belum terfikir untuk bersara daripada bertanding dalam ABPBH ataupun berhenti daripada bidang lakonan. Saya akan terus berlakon selagi diperlukan peminat,” katanya.
Antara filem terbaru lakonannya ialah Tembus dan Kriptik manakala drama lakonannya pula ialah drama bersiri Kusinero Cinta, Suamiku Mr Perfect 10, Tentang Hati dan terbaru, telemovie raya dengan Siti Saleha.
Trofi Bintang Paling Popular disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan The New Straits Times (M) Bhd (NSTP), Mohd Azlan Abdullah bersama Pengarang Kumpulan BH, Mahfar Ali pada malam kemuncak ABPBH 2013 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam kelmarin.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd, Ahmad Izham Omar.
Pada malam yang cukup bermakna itu, Aaron turut membawa pulang hadiah utama kereta Nissan Teana 2.5 L bernilai RM180,000 tajaan edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, selain barang kemas daripada Natika Gold & Diamond bernilai RM25,000 dan jam tangan Tendence bernilai RM2,100 dan trofi.
Bukan saja trofi Bintang Paling Popular, Aaron juga berjaya merampas kembali trofi Pelakon Filem Lelaki Popular yang dimenanginya pada ABPBH 2011 daripada saingannya iaitu Zizan, Adi Putra, Shaheizy Sam dan Pekin Ibrahim.
Aaron yang pernah mengungguli kategori Pelakon TV Lelaki Popular pada ABPBH 2012 turut dicalonkan dalam kategori Gandingan Di Layar Serasi bersama pelakon Nadiya Nissa.
Ditanya sama ada dia bersedia jika ada pihak yang tidak puas hati dan mempertikaikan kemenangannya itu, Aaron yang pernah berdepan dengan kontroversi membabitkan kemenangannya pada ABPBH 2011 lebih suka melihat isu itu dari sudut yang positif.
“Saya bersedia untuk bersemuka dengan pihak yang tidak puas hati dengan kemenangan saya itu. Saya ingin tahu kenapa dia masih tidak puas hati dengan saya? Saya sudah pun bermastautin di negara ini.
“Selain itu, saya mencari rezeki yang halal dan membayar cukai di negara ini sama seperti rakyat Malaysia yang lain. Kenapa pihak terbabit tidak mencari kesalahan pendatang asing yang melakukan jenayah dan merosakkan negara ini?” katanya.
Sejarah baru tercipta
Penganjuran ABPBH 2013 turut menyaksikan sejarah baru tercipta dengan kemenangan muka baru yang memberi cabaran sengit pada calon yang lebih senior. Antaranya ialah pelakon Siti Saleha (Pelakon TV Wanita Popular/Pelakon Filem Wanita Popular), Jihan Raja Lawak (kategori Artis Komedi Wanita Popular), Neelofa (Pengacara TV Wanita Popular) dan Jep Sepahtu (Artis Komedi Lelaki Popular).
Selain itu, Datuk AC Mizal (Pengacara TV Lelaki Popular) dan pelakon komedi dan juruhebah Era FM, Johan (Penyampai Radio Lelaki Popular).
Bagi Saleha yang dikenali menerusi filem Kerat 14 dan Nora Elena, dia sendiri tidak menyangka mengungguli dua kategori sekali gus.
Dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular, Saleha mengetepikan saingan terdekatnya, Yana Samsudin, Lisa Surihani dan Nora Danish.
Dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular, Saleha mengetepikan calon lain seperti Fasha Sandha dan Neelofa.
“Terus terang, kejayaan pada malam ini adalah milik peminat dan kelab peminat yang bekerja keras mengundi untuk memastikan kemenangan pada malam ini. Kemenangan ini turut membakar semangat untuk saya memperbaiki kualiti lakonan sedia ada.
“Pada masa sama, saya memang selektif dengan karakter yang ditawarkan pengarah, sekali gus memberi kepuasan pada diri dan peminat,” katanya.
Penyanyi Stacy turut mengungguli dua trofi sekali gus iaitu kategori Penyanyi Wanita Popular dan Artis Duo/Berkumpulan Popular bersama Akim.
Majlis kemuncak ABPBH 2013 disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan stesen radio Hot FM.
Segmen persembahan gandingan lama dan baru
Meskipun Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH) ditangguhkan penganjurannya yang sepatutnya berlangsung awal April lalu berikutan menghormati mangsa kejadian yang menimpa pesawat MH370 pada 8 Mac lalu, acara yang berlangsung dengan jayanya pada malam Sabtu lalu tetap meriah dengan kehadiran ramai artis.
Namun begitu, tragedi MH370 masih terus diingati dan disebabkan masih dalam suasana memperingati kejadian, sepanjang acara berlangsung lagu yang dipersembahkan lebih santai dan tenang demi menjaga sensitiviti dan menghormati perasaan mereka yang terbabit.
Persembahan pembukaan daripada Datuk AC Mizal dan Mawi yang menyanyikan lagu Al Haq serta doa Asmaul Husna.
Satu kolaborasi yang menarik dan jarang dilakukan dalam persembahan ABPBH sebelum ini. Namun begitu, tema utamanya iaitu Magis Alam juga turut dikekalkan dalam pengisian acara bagi sama-sama berkongsi serta memberi kesedaran kepada penonton supaya kita lebih menghargai alam sekitar yang semakin tercemar kini.
Menampilkan dua pengacara hebat dan berbakat, Amy Mastura dan Fara Fauzana, nyata keserasian mereka berdua benar-benar mencuit hati di samping lawak spontan Amy Mastura. Turut menyerikan suasana dengan kehadiran kumpulan Shiro yang sama-sama mengacarakan majlis pada malam berkenaan.
Sesuai dengan perkembangan semasa, fenomena ‘selfie’ yang semakin menjadi kegilaan ramai turut menjadi bahan jenaka mereka. Nyata gabungan keempat-empat pengacara terbabit yang menjadikan fenomena itu sebagai bahan cerita tidak mengecewakan penonton yang hadir.
Selain itu, isu gambar pasangan pelakon Rozita Che Wan dan Zain turut menjadi gurauan mereka dalam menghangatkan suasana.
Melalui persembahan dengan lagu yang lebih berentak balada dan sentimental, penampilan penyanyi Liza Hanim dan Nora melalui lagu masing-masing berjudul Gelisah Mimpi dan Hanya Satu benar-benar memukau penonton selepas sekian lama mereka tidak muncul di kaca televisyen.
Persembahan yang diiringi sembilan pemuzik diketuai Datuk Ramli MS turut menampilkan kumpulan Hyper Act, Dayang Nurfaizah dan Encik Mimpi melalui kolaborasi lagu masing-masing berjudul Hanya Aku, Di Pintu Syurga dan Rindukanlah.
Menepati tema, lagu Hijau nyanyian Zainal Abidin kelihatan menarik dan sesuai ditambah kolaborasi bersama artis seperti Dina, Altimet, Forteen, Farawahida, Hazama dan Shahir. Turut membuai perasaan penonton melalui segmen memperingati artis yang meninggal dunia melalui lagu Percayalah dendangan Indah Ruhaila dan Asmidar.
Tidak ketinggalan, kehadiran penyanyi cilik dari seberang, Tegar yang mempersembahkan lagu popularnya berjudul Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang serta mengambil suasana bulan Hari Ibu yang jatuh pada bulan Mei, Tegar turut menyanyikan lagu Untukmu Ibu dendangan asal kumpulan Exist.
Persembahan penutup tirai acara pastinya lebih menarik dengan kolaborasi penyanyi baru dan lama seperti Salamiah Hassan, Alyah, Siti Sarah dan Ayu Damit yang menyanyikan lagu tribute Michael Jackson berjudul Earth Song.
Sememangnya, vokal Ayu yang mantap benar-benar menusuk perasaan apabila dia turut mendapat pujian daripada penonton yang mengagumi suaranya setanding penyanyi berkulit hitam.
0 comments:
Catat Ulasan