Blog Yang Memaparkan Isu Isu Semasa Yang Tular (Viral)

1 April 2014

April Fool`s dan kesannya..


1 April setiap tahun adalah ‘hari pelepasan’ untuk mengenakan sesiapa saja dirasakan patut. Tak boleh marah atau mengamuk sebaliknya sesiapa menjadi mangsa harus melihat ia sebagai gurauan atau usikan normal. Bagaimanapun, meneliti setiap jenis gurauan yang dilakukan, penulis sendiri HAZRIL MDNOR mengakui ada kesan buruk di sebalik usikan itu.

Pada 1 April setiap tahun, rakyat Malaysia dan seluruh dunia gemar bergurau senda dan membuat lawak pada rakan-rakan. Hari yang dikenali sebagai ‘April’s Fool’, ‘Poisson d’Avril’ atau ‘April Fish’ ini ada kebaikan dan keburukannya. Kebanyakan remaja yang menyambutnya kadangkala keterlaluan apabila menyakat rakan mereka sehingga berlaku pergaduhan antara mereka.


Asal usul ‘April’s Fool’ ini sendiri adalah misteri. Teori popular mengenai asal usul hari jenaka ini bermula pada tahun 1582 di mana orang Perancis menggunakan kalendar Gregoria untuk menggantikan kalendar Julian. Kalendar baru itu menetapkan tarikh tahun baru pada 1 Januari. Menurut satu keterangan popular, ramai orang pada masa itu tidak setuju dengan tarikh baru berkenaan dan bertekad menyambut tahun baru pada 1 April. 

Tidak lama kemudian, ramai orang menyindir atau membuat lawak pada tradisionalis itu dengan menghantar mereka bagi melakukan ‘suruhan orang bodoh’ ataupun cuba memperdayakan mereka untuk mempercayai sesuatu yang palsu.

Di Malaysia, ‘April’s Fool’ kerap disambut oleh remaja yang kebanyakannya masih bersekolah dan ia begitu popular sehinggakan ia menjadi tradisi ‘wajib’ yang perlu disambut setiap tanggal 1 April.

Gen Y mendekati dua remaja bagi mendengar pandangan mereka mengenai ‘April’s Fool’ ini termasuk pekerja syarikat swasta berusia 22 tahun, Shafinas Shukor yang menyifatkan sambutan ‘April’s Fool’ ini ada juga kebaikannya. 

“Sebagai contoh, pada tanggal 1 April ini kita boleh menguji bagaimana sikap seseorang itu, sama ada orang yang kita kenakan itu seorang yang penyabar ataupun seseorang yang mudah mempercayai orang lain. Hari ini juga sebenarnya kita dapat bergurau senda antara satu sama lain bagi mengeratkan hubungan.

“Keburukan ‘April’s Fool’ pula dapat dilihat apabila gurauan yang dilakukan itu keterlaluan sehingga boleh menyebabkan salah faham ataupun pergaduhan.

“Tak perlulah menganggap hari ‘April’s Fool’ sebagai hari yang membanggakan. Cukuplah sekadar hari yang boleh membuat kita ketawa dan bergurau senda selagi tidak melebihi batas-batas yang ditetapkan.” katanya.

Menurutnya, hari ‘April’s Fool’ ini adalah istimewa kerana ia disambut sekali saja setiap tahun. Pada sambutan ini, ramai orang bergelak tawa dan menyakat antara satu sama lain dan tidak meriah macam hari-hari biasa.

Katanya, walaupun ia sekadar gurauan dan bukan berniat untuk mencetus pergaduhan, sesiapa saja yang menjadi mangsa perlulah berfikiran lebih terbuka dan dapat menerima segala tohmahan bahan jenaka yang diajukan pada mereka.

Lain bagi Naim Rosli juga seorang pelajar institut pengajian tinggi awam berusia 21 tahun, katanya ‘April’s Fool’ bertujuan untuk menceriakan rakan atau teman yang mempunyai masalah agar dia boleh ketawa dan gembira serta terlepas daripada tekanan.

“Lawak ‘April’s Fool’ ini kadangkala bersifat keterlaluan terutama dalam kalangan remaja yang masih menduduki alam persekolahan. Ada sesetengah pihak yang dapat menerima manakala sesetengah lagi tidak. Namun ia tidak menjadi suatu bebanan dalam kalangan remaja yang sudah berfikiran matang.

“Keburukannya pula dapat dilihat apabila remaja akan terpengaruh. Misalnya, apabila sudah dikenakan lawak ‘April’s Fool’, dia akan membalasnya kepada rakan yang masih belum kena. Keburukan lain mungkin mengundang risiko pergaduhan, sangka buruk dan dendam.

“Pada saya, ‘April’s Fool’ ini tidaklah dikategorikan sebagai hari yang patut dibanggakan kerana ia hanya sekadar gurauan semata-mata. Gurauan yang keterlaluan mungkin tidak membanggakan, tetapi kalau niat untuk ceriakan kawan adalah tak salah. Ia dianggap hari gurauan sedunia.” katanya.

Menurutnya, walaupun ia popular dalam kalangan remaja negara ini, seseorang itu janganlah begitu taksub dengan sambutan ini sehingga sanggup melukakan hati orang lain seterusnya boleh memutuskan hubungan persahabatan.


Kebaikan di sebalik jenaka

Remaja yang masih bersekolah biasanya akan menyambut ‘April’s Fool’ ini secara besar besaran. Mereka akan menyakat rakan-rakan kelas dengan pelbagai lawak jenaka yang kadangkala tidak masuk akal. Ada juga yang membuat sesuatu helah tipu daya bagi memperbodohkan rakan dengan alasan ia kelihatan kelakar dan menyeronokkan.

Tidak semua bahan jenaka atau tipu helah dianggap kasar seperti anggapan sesetengah pihak. Sebenarnya, lawak ‘April’s Fool’ ini boleh dilihat dari sudut yang positif juga. Tidak semua berunsur memalukan atau merendahkan martabat seseorang. Misalnya, hari ‘April’s Fool’ disambut bagi memeriahkan hari mereka yang murung dan monyok. Katakanlah pada 1 April itu, ada rakan yang kelihatan ‘blur’ dan membosankan. Pastinya lawak akan menghiburkan hati mereka. Lebih-lebih lagi lawak yang kedengaran pelik dan tidak masuk akal.

Jika dilihat dari aspek lain, hari ‘April’s Fool’ ini sebenarnya adalah hari untuk melepaskan geram atau tekanan. Remaja yang tertekan akibat kerja sekolah yang banyak, lambakan kertas kerja yang perlu disiapkan ataupun mereka yang murung dilanda masalah pasti memerlukan sesuatu yang seronok atau lawak jenaka bagi menghilangkan segala permasalahan mereka. Apa salahnya dalam sehari bergelak ketawa melepaskan tekanan kerana ia hanya bersifat sementara dan tidak kekal.

Selain itu, hari berjenaka 1 April ini boleh juga mengeratkan hubungan antara keluarga. Mencuit, membuat lawak bodoh dan berjenaka di hadapan ahli keluarga adalah penting untuk menguatkan ikatan kekeluargaan. Lawak itu sendiri adalah bagus dalam meredakan tekanan selain memberikan impak yang positif pada kesihatan. Membuat lawak itu juga boleh menguji keyakinan dan kepercayaan seseorang. Ini kerana jenaka yang dikenakan itu seharusnya tidak menimbulkan pergaduhan atau boleh memalukan orang lain. 


Masalah yang timbul

Bahana di sebalik jenaka ‘April’s Fool’ kerap diperkatakan antara masyarakat. Ada saja remaja yang selalu tawar hati dan sakit hati kerana dipermainkan oleh rakan mereka walaupun ia dianggap perkara kecil. Misalnya, seseorang yang sensitif pasti terkesan oleh lawak jenaka rakan mereka. Lebih buruk lagi jika mereka menganggap ia sebagai perkara serius dan tak patut dijadikan bahan lawak.

Lihat saja ketika di alam persekolahan di mana remaja yang pendiam dan pemalu sering dikecam oleh pelajar lain dalam kelas. Contohnya, mereka akan ditampal kertas yang bertulis “Aku Bodoh”, “Aku Tak Kacak” atau sebagainya tanpa diketahui mangsa keadaan tersebut. Setelah mendapat tahu, remaja itu bukan saja geram bahkan menaruh dendam dan seterusnya melaporkan kepada guru disiplin. Ini disebabkan bukan semua remaja bersikap terbuka dan dapat menerima segala lawak yang dilemparkan pada mereka.

Ada juga situasi di mana lawak yang dibuat itu terlebih serius dan membawa padah pada mangsa. Contohnya, seseorang itu membuat lawak yang membabitkan kematian. Walaupun ia dianggap sebagai bahan ketawa, ia boleh dianggap perkara yang bukan main-main oleh sesetengah pihak. Mana tidaknya, topik berkaitan kematian adalah sesuatu yang sensitif.
Share:

0 comments:

Page Views

Viral Vision Media Co.. Dikuasakan oleh Blogger.
Propellerads

FEMES BLOG

KISAH SERAM !

TONTON INI