
SKUAD hoki lelaki negara ternyata tiada tandingan di Asia Tenggara apabila membelsah Myanmar 14-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi sejak 1975, malam tadi.
Sepanjang sejarah penyertaan skuad lelaki negara dalam temasya dwitahunan itu, hanya sekali mereka gagal memenangi emas, iaitu pada 1973 di Singapura yang dimenangi skuad tuan rumah.
Pingat gangsa milik Singapura selepas menang 2-1 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat pada sebelah petang.
Jurulatih Malaysia, Stephen Van Huizen, berkata pemain sudah beraksi di tahap terbaik pada perlawanan itu dengan menyajikan aksi yang menarik termasuk memanfaatkan peluang yang ada.
“Kita bukan terlalu memburu gol tetapi saya kerah pemain menampilkan aksi sebenar bagi membuktikan kepada penyokong tempatan kita berada pada satu tahap berbeza.
“Cuma pada suku ketiga kita kurang tajam kerana padang basah akibat hujan lebat namun secara keseluruhan saya berpuas hati,” kata Van Huizen.
Kejayaan itu lebih bermakna kerana ia adalah pingat emas Sukan SEA pertama pemain dalam skuad hoki negara.
Kemenangan skuad hoki lelaki itu membolehkan Malaysia mengumpul tiga daripada empat pingat emas untuk sukan hoki.
Malaysia yang turun selaku pasukan pilihan selepas kemenangan besar dalam semua perlawanan peringkat kumpulan, nyata berada dalam kelas berbeza apabila menewaskan lawan di ranking ke-89 dunia itu menerusi hatrik Shahril Saabah dan Faizal Saari.
Baki lapan jaringan lagi disumbangkan masing-masing dua oleh Razie Rahim dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dengan Fitri Saari, Meor Muhamad Azuan Hasan, Azri Hassan dan Rashid Baharom (satu gol).
0 comments:
Catat Ulasan