Blog Yang Memaparkan Isu Isu Semasa Yang Tular (Viral)

18 Julai 2017

WABAK ANJING GILA MENULAR DI PERAK?


Orang awam yang mempunyai sejarah digigit anjing atau kucing di daerah Serian, Sarawak dari 1 April  hingga 17 Julai ini  dan di kawasan sekitar Kuala Sepetang, Perak dalam tempoh 4 hingga 17 Julai dinasihatkan membuat pemeriksaan risiko jangkitan rabies dan mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pemeriksaan risiko jangkitan rabies dan rawatan lanjut  boleh dilakukan di klinik kesihatan atau hospital berhampiran.

"Orang awam yang tinggal di kawasan tersebut juga dinasihatkan agar mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan wabak penyakit anjing gila atau rabies dengan memastikan anjing atau kucing peliharaan mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan menyentuh haiwan tersebut.

"Dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan ke Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar  terdekat jika anjing atau kucing peliharaan didapati tidak sihat atau berkelakuan agresif,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham meminta orang ramai melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan jika terdapat anjing atau kucing liar berkeliaran di kawasan tempat tinggal, selain kekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun selepas bersentuh dengan anjing atau kucing peliharaan atau liar.

Beliau berkata, semalam Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia melaporkan seekor anjing didapati positif rabies di Kuala Sepetang, Taiping Perak pada 15 Julai lalu.

Anjing berkenaan menggigit dua  kanak-kanak di kawasan tersebut pada 4 Julai lalu dan kedua-dua kes diberikan rawatan pesakit luar serta tidak mempunyai gejala klinikal serta dalam keadaan stabil.

Jabatan Kesihatan Negeri Perak melalui Pejabat Kesihatan Daerah Larut Matang dan Selama sedang melaksanakan aktiviti kawalan dan pencegahan termasuk pengesanan kes gigitan anjing di kawasan terlibat bagi tujuan rawatan dan pemantauan.

Tiada kes positif rabies dalam kalangan manusia dilaporkan di Negeri Melaka dan Perak, setakat ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dimasukkan ke wad Hospital Melaka kerana mempunyai sejarah digigit anjing di Serian Sarawak, menunjukkan keputusan negatif.

Katanya, mangsa dalam keadaan stabil dan pemeriksaan serta pemantauan lanjut akan dibuat kerana tempoh inkubasi penyakit rabies adalah lama.

Hari ini, kanak-kanak perempuan lima tahun yang merupakan mangsa keempat wabak penyakit anjing gila atau rabies disahkan meninggal dunia di Unit Jagaan Rapi Kanak-kanak (PICU) Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 2.05 petang akibat rabies encephalomyelitis.

KES PERTAMA DI PERAK.

Satu kes baharu gigitan kucing bertuan dilaporkan di Kampung Mentari, Kuala Sepetang, di Taiping, semalam.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Perak Dr Fuziah Muhayat berkata, mangsa gigitan, seorang wanita berusia 41 tahun yang juga pemilik kucing itu, telah mendapat rawatan di Pusat Kesihatan Kuala Sepetang.

"Pemeriksaan klinikal telah dibuat dan mendapati tiada petanda klinikal pada kucing tersebut.

"Tindakan kuarantin dan pemerhatian klinikal akan dilakukan ke atas kucing itu sehingga tempoh 14 hari," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pada 4 Julai lepas, dua kanak-kanak perempuan masing-masing berusia 11 dan 12 tahun di Kuala Sepetang digigit anjing peliharaan mereka sebelum haiwan itu mati lapan hari kemudian.

Fuziah berkata, 59 rumah di dalam satu kilometer (km) radius dari lokasi kes rabies sebelum ini telah dibuat bancian dan survelan aktif di daerah Larut Matang dan Selama.

"Didapati bilangan anjing bertuan adalah seekor manakala anjing tidak bertuan (anjing liar) sebanyak lima ekor. Tiada sebarang petanda klinikal dikesan pada semua haiwan terbabit," katanya.

Fuziah berkata, program pemvaksinan juga telah dijalankan dalam 1km radius, bermula pada hari ini dan 1,000 dos vaksin rabies dihantar ke DVS Perak.      

"Program kempen kesedaran dalam 1km radius juga telah dijalankan dengan memberi penerangan dari rumah ke rumah kepada 59 orang pemilik haiwan," katanya sambil menambah 48 kakitangan jabatan itu terlibat dalam program hari ini.

Sementara itu, dua kanak-kanak perempuan yang digigit anjing peliharaan di Kuala Sepetang telah mendapat vaksin rabies dos pertama dari pihak hospital berdekatan dan dibenarkan pulang ke rumah.
Share:

0 comments:

Page Views

Viral Vision Media Co.. Dikuasakan oleh Blogger.
Propellerads

FEMES BLOG

KISAH SERAM !

TONTON INI