
POLIS London dikatakan sedang menyiasat ‘kemalangan buruk’ berlaku atas London Bridge, mengikut kenyataan Transport for London (tfl), awal pagi ini.
Ini berikutan beberapa saksi dilaporkan menyaksikan van melanggar orang ramai selepas terbabas dan naik atas batas kaki lima laluan pejalan kaki.
“Polis sedang menyiasat kejadian dan semua laluan kini dilencongkan,” kata agensi pengangkutan itu menerusi Twitter.
Beberapa ambulans pula dilihat bagaikan tergesa-gesa ke lokasi kejadian.
Sementara itu, beberapa saksi memberitahu BBC bahawa van itu tersasar keluar daripada laluan dan melanggar orang ramai.
Wartawan yang bekerja dengan majalah Spectator dilaporkan melihat polis lengkap bersenjata dan mereka yang tercedera di kawasan kejadian.
Holly Jones, wartawan BBC yang turut berada di atas jambatan itu ketika kejadian, berkata van terbabit terbabas dan menuju ke arah orang ramai.
“Van putih itu meluncur laju. Saya agak pada kelajuan 50bsj (80km/j) – terbabas dan menuju ke arah orang ramai yang sedang berjalan di atas turapan pejalan kaki,” katanya memberitahu BBC News.
“Van itu terbabas dekat dengan saya dan merempuh antara lima atau enam orang. Pemandu lelaki itu melanggar dua orang di depan saya manakala tiga di belakang.”
“Saya agak empat daripada mereka parah. Mereka kemudian dirawat oleh pasukan perubatan di lokasi,” katanya.
Katanya, dia turut melihat lelaki yang bajunya ditanggalkan dan digari oleh polis.

Sementara itu dua lelaki dikatakan masuk ke restoran di Borough Market, kawasan berdekatan London Bridge dan menikam dua orang di dalam premis berkenaan.
Mengikut wartawan CNN yang memetik kenyataan saksi, pelayan wanita ditikam di leher manakala seorang lelaki ditikam di belakang tubuh.
Selain itu, seorang wanita turut memberitahu Reuters dia nampak ada orang lehernya cedera ketika insiden ‘van menggila’ di atas London Bridge, malam Sabtu (waktu London).
British Transport Police pula mendakwa memang ada kemalangan jiwa selepas insiden itu yang berkemungkinan turut membabitkan serangan menggunakan pisau.
Polis turut menjelaskan bahawa anggota bersenjata memang sedang menyiasat kemalangan yang berlaku di kawasan Borough Market.
Saksi wanita memberitahu Reuters, dia nampak tiga individu yang cedera seperti terkena pisau dan kelihatan leher mereka seperti dikelar.
Bagaimanapun, Reuters masih belum tidak dapat mengesahkan keterangan saksi itu.
Ada juga saksi wanita memberitahu BBC, dia nampak van putih yang meluncur laju dan terbabas merempuh orang ramai.
Saksi itu memberitahu bahawa van itu merempuh sekurang-kurangnya enam orang.
Beberapa saksi juga mengatakan mereka terdengar tembakan senjata api.
“Kami ketika itu di dalam Uber (teksi) menghala ke London Bridge dan tiba-tiba melihat orang ramai berlari.
“Uber itu berhenti dan kami tanya apa yang berlaku. Mereka kata ada tembakan,” kata Yoann Belmere, 40, rakyat Perancis yang yang menetap London.
Sementara itu, polis mendakwa pihak berkuasa turut menyiasat insiden di Vauxhall, dekat London, selepas kejadian van London Bridge.
Polis juga memberitahu pihak berkuasa melepaskan tembakan selepas menerima laporan kejadian tikaman di Borough Market - kawasan yang dekat dengan London Bridge.
0 comments:
Catat Ulasan