Blog Yang Memaparkan Isu Isu Semasa Yang Tular (Viral)

15 Januari 2017

JET TERHEMPAS KETIKA BUAT PERTUNJUKAN UDARA SEMPENA HARI KANAK-KANAK


THAILAND : Sebuah jet pejuang Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) 'JAS39 C Gripen' terhempas ketika pertunjukan udara untuk kanak-kanak berhampiran Lapangan Terbang Hatyai, yang mengorbankan juruterbangnya, hari ini.

Menurut RTAF, insiden yang mengorbankan Ketua Skuadron, Dilokrit Pattavee, 35, berlaku pada pukul 9.27 pagi waktu tempatan (10.27 waktu Malaysia) sewaktu penerbangan pertunjukan sempena sambutan Hari Kanak-Kanak.


Orang ramai terutama ibu bapa yang membawa anak mereka menyaksikan pertunjukan udara itu, menjadi saksi kemalangan ngeri yang menyebabkan kebakaran dan asap hitam.

Lapangan terbang itu kemudian ditutup dan semua penerbangan ke situ diarahkan ke Lapangan Terbang Krabi bagi membolehkan petugas keselamatan mengalihkan bangkai pesawat dan memulakan siasatan.

Pertunjukan udara itu turut dibatalkan.

Sementara itu, Ketua RTAF, ACM Jom Rungsawang dalam kenyataannya menyatakan kesedihan terhadap kejadian berkenaan dan mengarahkan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan serta-merta.

Perdana Menteri, Jen Prayut Chan-o-cha turut menyatakan simpatinya kepada keluarga juruterbang dan RTAF.

Beliau turut meminta semua anggota RTAF dan cawangan lain dalam angkatan tentera itu untuk mengambil langkah berhati-hati pada tahap tertinggi, kata jurucakap kerajaan, Mej Jen Weerachon Sukondhapatipak.


RTAF mempunyai 16 pesawat tempur pelbagai peranan Gripen buatan Sweden dan kebanyakan pesawat satu enjin itu ditempatkan di Pangkalan Udara Surat Thani, selatan Thailand.

Selain pesawat Gripen yang juga pesawat pejuang barisan hadapan, RTAF turut mempunyai pesawat F-16 Fighting Falcon buatan Amerika Syarikat dan pesawat pejuang yang lain.



Thailand jangka tempoh sebulan siasat punca pesawat 'Gripen' terhempas

Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) memberi tempoh sebulan untuk menyiasat punca pesawat pejuang 'Gripen' terhempas di Lapangan Terbang Hatyai, semalam.

Pengarah Pejabat Keselamatan RTAF Naib Marshal Udara, Sorakit Mangsing berkata tempoh itu diperlukan untuk menyiasat pelbagai faktor yang mungkin menyebabkan kemalangan tersebut.

"Pelbagai faktor perlu dikaji termasuk keadaan juruterbang, persekitaran di udara dan lain-lain. Ia juga perlu mengambil kira faktor sains dan kejuruteraan. Siasatan awal belum menunjukkan tentang punca," katanya kepada pemberita hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pesawat berada dalam keadaan baik sebelum penerbangan semalam dan telah menjalani pemeriksaan teliti, manakala juruterbang juga dalam keadaan sihat.

Sementara itu, suasana hiba menyelubungi Hospital Songkla Nakharin, Hatyai apabila keluarga juruterbang, Kapten Dilokrit Patawee, 35, tiba untuk menuntut mayatnya bagi dibawa pulang ke Bangkok.

Dalam kejadian pukul 9.27 pagi waktu tempatan (10.27 waktu Malaysia) semalam, pesawat pejuang 'Gripen' buatan Sweden yang dipandu Dilokrit terhempas ketika mengadakan penerbangan pertunjukkan sempena sambutan Hari Kanak-Kanak di Lapangan Terbang Hatyai.

Kemalangan ngeri itu berlaku di hadapan ratusan penonton termasuk kanak-kanak yang hadir untuk menyaksikan pertunjukkan udara tersebut.

RTAF memiliki kira-kira 16 pesawat pejuang moden buatan syarikat Saab dari Sweden itu, dengan kebanyakannya beroperasi dari pangkalan udara di Surat Thani, selatan Thailand.

Thailand merupakan pengguna tunggal pesawat pejuang 'Gripen' di rantau Asia Tenggara.
Share:

0 comments:

Page Views

Viral Vision Media Co.. Dikuasakan oleh Blogger.
Propellerads

FEMES BLOG

KISAH SERAM !

TONTON INI