Pujukan seorang Ketua Balai Bomba Sungai Buloh yang bertutur dalam bahasa Cina berjaya mengelak seorang wanita warga Vietnam berusia 21 tahun, daripada terjun dari tingkat 12, sebuah apartmen di Desa Aman Putri, Kepong, awal pagi semalam.
Kelibat wanita yang dikenali sebagai Nguyen Thi Tuyet Nghi duduk di tepi tingkat rumah sewanya dilihat orang ramai kira-kira 7.45 pagi tadi.
Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamed Sabri A Shamsudeen berkata, mangsa bertindak demikian kerana dipercayai mengalami tekanan akibat masalah hutang.
Menurutnya, beliau mengambil masa 10 minit untuk memujuknya supaya membatalkan niat untuk terjun dari bangunan berkenaan.
"Saya pujuk dengan bertutur bahasa Cina dan saya bagi keyakinan dekat dia dan cakap saya dari pasukan bomba, kami adalah orang baik dan kami ingin tolong dia jadi dia nampak pandang dekat saya macam positif.
"Apabila kali kedua saya cakap sama ada bolehkah dia menghulur tangan bantu awak dan apabila saya nampak dia berganjak dari batu itu untuk undur ke belakang supaya dia diselamatkan jadi saya hulurkan tangan dan suruh anggota saya berpegang kepada tali pinggang saya dan dapatkan tangan wanita", katanya ketika dihubungi.
Mangsa kemudiannya dapat ditenteramkan dan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Seramai sembilan anggota dari Balai dan Penyelamat Bomba (BBP) Sungai Buloh berada di lokasi kejadian.
0 comments:
Catat Ulasan