RIO : Kemeriahan rakyat Malaysia menyambut Aidiladha esok, diceriakan lagi dengan kejayaan membanggakan atlet paralimpik negara meraih dua pingat emas pada temasya Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil.
Kejayaan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhammad Ziyad Zolkefli itu dikongsi bersama oleh orang ramai termasuk Olimpian negara di laman sosial masing-masing.
Pemenang pingat gangsa pada Sukan Olimpik 2016 baru-baru ini, Mohd Azizulhasni Awang berkongsi kejayaan dua atlet paralimpik negara meraih pingat emas itu di akaun Facebook dan Instagramnya.
Katanya: 'Congratulations Ridzuan Puzi for the first Gold Medal at the Paralympic Games. You're such an inspiration for the nation. Well done bro!'
Sementara ucapan atlet berbasikal trek negara itu untuk Muhammad Ziyad pula 'Congrats Ziyad Zolkefli for the second gold medal at the Paralympic Games.'
Mohamad Ridzuan muncul wira pertama apabila menyumbang emas pertama dalam acara 100m T36, sekaligus membolehkan lagu Negaraku berkumandang di Stadium Olimpik Rio.
Mohamad Ridzuan turut memperbaharui rekod kejohanan dengan catatan masa 12.07 saat.
Muhammad Ziyad pula menyumbang emas kedua negara menerusi acara lontar peluru F20 untuk sekali lagi lagu kebangsaan bergema di stadium berkenaan.
Lebih membanggakan, Muhammad Ziyad mempamerkan aksi luar biasa apabila mencipta rekod baharu dunia dengan lontaran sejauh 16.84 meter.
Selain Azizulhasni, ratu terjun negara Pandelela Rinong turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Mohamad Ridzuan dan Muhammad Ziyad atas kejayaan menyumbang emas dengan berkongsi dua gambar atlet itu di Instagramnya.
Menurut Pandelela, 'When @pridzuan won Malaysia first ever Paralympics gold medal, I'm feeling so proud. Congratulations champion!!!
Pemain beregu wanita negara Vivian Hoo pula berkata 'Truely our national hero..U guys proved that with determination, nothing can't stop u from achieving your dreams. Such a great inspiration to all of us..Malaysia Boleh!!
Kejayaan atlet paralimpik itu turut menarik perhatian penghibur tanah air Altimet yang memuat naik video aksi Mohamad Ridzuan dalam acara 100m T36 menuju ke garisan penamat.
Altimet meletakkan status 'Hero kami.@pridzuan. Emas di Rio. Terimalah kasih.'
Pelakon tanah air Hairul Azreen pula berkata 'Lagu Negaraku berkumandang. Ya Allah kami bangga. Tahniah @pridzuan'.
Di samping ucapan tahniah, rasa bangga dan terharu dengan kejayaan atlet 'luar biasa' meraih dua emas itu, ada juga netizen yang menzahirkan kebimbangan berhubung ganjaran yang bakal diperolehi oleh paralimpian itu.
Noraidah Abdulah dalam status di Facebook menyebut 'Tahniah!!! Harapan pd org lain, akhirnya org lain yg berjaya...Smga janji2 utk memberi imbuhan kpd yg berjaya dpt ditunaikan..Dua emas tu..Cayalah atlet paralimpik!!!'
Ada juga yang memberi komen di gambar atau video kedua-dua atlet berkenaan yang dimuat naik di laman Facebook mengingatkan agar pihak berwajib tidak mengabaikan atlet paralimpik negara.
Rosnah Hj Osman dalam catatannya berkata 'Kerajaan Msia jgn lupa ganjaran utk dia' manakala Mohamad Zulhairi Mohamad Zubit pula berkata 'harap dpt hadiah ngn pencen'.
HABUAN LUMAYAN : Naza Corporation Holdings (Naza) mengumumkan ganjaran tambahan, iaitu seunit kediaman berharga RM350,000 di Trion 888, Equine Park masing-masing kepada dua pemenang pingat emas di Sukan Paralimpik, Rio Brazil iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhammad Ziyad Zolkefli.
Pengerusinya, SM Nasarudin SM Nasimuddin berkata, pemegang saham syarikat berbangga dengan pencapaian cemerlang dan luar biasa oleh dua atlet Paralimpik ini sekali gus mengambil keputusan memberikan ganjaran tambahan itu.
"Naza sentiasa komited terhadap pembangunan dan pencapaian sukan negara. Malah, pada tahun ini sahaja kami telah menaja pertandingan terbesar skuasy wanita peringkat antarabangsa, jadi ganjaran ini adalah sebahagian daripada usaha kami.
"Sebagai syarikat tempatan, kami akan terus memberi ganjaran kepada pemenang pingat emas temasya sukan berprestij ini dengan unit kediaman di Trion 888, Equine Park sebagai menghargai kejayaan diraih," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Trion 888 terletak di Equine Park, Sri Kembangan adalah projek hartanah yang dibangunkan oleh Naza TDDI Sdn Bhd, iaitu anak syarikat milik penuh Kumpulan Naza.
Unit kediaman jenis ‘suite’ berkenaan yang berkeluasan 41.81 meter persegi itu turut dilengkapi dengan kemudahan seperti kolam renang, bilik pelbagai guna, gimanasium, fasiliti dobi dan surau serta dijangka akan siap sepenuhnya pada penghujung 2017.
Terdahulu, Naza mengumumkan ganjaran kenderaan SUV terbaru, Kia Sportage masing-masing kepada dua pemenang pingat emas di Sukan Paralimpik di Rio Brazil itu.
0 comments:
Catat Ulasan