Naluri keibuan seorang wanita merasakan anaknya berada dalam kesusahan ternyata benar apabila bayi lelakinya berusia sembilan bulan itu didapati dibiarkan seorang diri di dalam rumah oleh pembantu rumahnya.
Dalam kejadian di Taman Putra Bukit Baru, di sini, kelmarin, pembantu rumah warga Indonesia itu dipercayai melarikan diri dan meninggalkan bayi lelaki berkenaan tanpa dijaga orang lain.
Menurut sumber, keadaan bayi terbabit hanya disedari ibunya berusia 30-an selepas pulang untuk melakukan pemeriksaan jam 1.30 tengah hari.
“Wanita itu berasa ada yang tidak kena selepas mendapati pintu pagar utama rumah terbuka. Dia mula cemas apabila gagal membuka pintu rumah yang berkunci.
“Bimbang dengan keadaan bayinya, wanita itu menjerit nama pembantu rumahnya namun tidak bersahut. Dia menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan bomba,” katanya.
Selain membahayakan keselamatan bayi lelaki berkenaan, wanita warga Indonesia itu turut meninggalkan rumah terbabit dalam keadaan berselerak seperti tergesa-gesa mahu melarikan diri.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh Dzulkarnain Abd Halim berkata, seorang pegawai dan tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke rumah mangsa selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.38 tengah hari.
Beliau berkata, ketika sampai di lokasi, anggota bomba terbabit dapat mendengar tangisan bayi lelaki berkenaan yang berada di dalam rumah.
“Kami meminta keizinan daripada pemilik rumah sebelum mengumpil pintu di bahagian dapur menggunakan peralatan khas. Selepas 10 minit, kami membuka pintu berkenaan dan mengesan lokasi bayi terbabit.
“Anggota kami berasa amat lega apabila menemui bayi lelaki berkenaan yang sedang merangkak ke arah dapur. Pemeriksaan awal dilakukan mendapati dia tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
0 comments:
Catat Ulasan