SINGAPURA : Perkhidmatan teksi tanpa pemandu memulakan sesi ujian di jalan raya di Singapura semalam dengan beberapa pelanggan terpilih untuk menaiki kenderaan canggih berkenaan.
Syarikat nuTonomy yang membangunkan teknologi itu memilih sekumpulan penumpang untuk memuat naik aplikasi di telefon pintar dan menaiki teksi itu secara percuma di daerah perniagaan di barat Singapura.
nuTonomy berharap penumpang memberi memberi maklum balas menjelang pelancaran perkhidmatan teksi itu pada 2018.
“Ini adalah satu detik bersejarah yang bakal mengubah bagaimana sebuah bandar dibina dan bagaimana kita melihat keadaan sekeliling,” kata eksekutif nuTonomy, Doug Parker.
Ujian itu dilakukan menggunakan kereta elektrik Mitsubishi i-MiEv dengan seorang jurutera duduk di tempat pemandu untuk memantau sistem dan mengambil alih kawalan sekiranya diperlukan.
Ujian itu dijalankan secara berterusan dan diikuti dengan beberapa ujian berasingan yang bermula sejak April lalu.
nuTonomy bekerjasama dengan kerajaan Singapura untuk membangunkan projek itu dan berharap 100 teksi berkenaan boleh beroperasi menjelang 2018.
Syarikat itu antara beberapa firma yang bersaing bagi melancarkan kereta tanpa pemandu.
Pembuat kereta dari Sweden, Volvo AB pada minggu lalu mengumumkan kerjasama dengan perkhidmatan kereta sewa, Uber untuk membangunkan kereta tanpa pemandu. - Reuters
0 comments:
Catat Ulasan