ATLET gimnastik Perancis, Samir Ait Said berdepan detik mencemaskan setelah mengalami kecederaan patah kaki kiri dalam kejohanan sukan Olimpik Rio semalam.
Difahamkan, kaki kiri atlet berusia 26 tahun tersebut patah pada bahagian bawah selepas gagal mendarat dengan baik ketika melakukan persembahan bagi bersaing dalam acara palang pusingan kelayakan lelaki yang berlangsung di Rio Olympic Arena.
Susulan kejadian itu, perlawanan ditangguhkan beberapa minit sebelum dia ditolak keluar menaiki kerusi roda sambil mengangkat tangan dan disusuli dengan tepukan gemuruh daripada penonton.
Kecederaan yang dialami Said sekali gus menjadi petanda bahawa atlet Perancis itu terpaksa meninggalkan pentas Olimpik Rio lebih awal di samping turut terlepas semua aksi perlawanan selepas ini.
Said sebelum ini pernah bertanding dalam Kejohanan Dunia di Glasgow pada 2015 serta memenangi pingat emas dalam Kejohahan Eropah 2013.
0 comments:
Catat Ulasan