Tiang gol yang menghempap kepala pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Petra 2 (SMKTIP2) di sini, pagi tadi disahkan sudah uzur, berkarat dan besinya mereput terutama di bahagian kaki tiang.
Pengarah Pendidikan Kelantan, Datuk Ab Aziz Abdullah berkata, keadaan itu yang menyebabkan tiang besi terbabit tidak stabil dan mudah tumbang.
"Ia adalah tiang gol untuk bola baling dan sudah lama digunakan serta berkarat. Ada bahagian yang reput serta mudah tumbang terutama di bahagian kaki tiang.
"Saya kesal kejadian ini berlaku. Ia tidak sepatutnya terjadi kerana kita sering mengingatkan pengurusan sekolah supaya memantau peralatan sukan dan perkakas sekolah yang lama dan rosak.
"Kita juga sudah arahkan supaya buang perkakas yang boleh membahayakan pelajar," katanya ketika menziarahi keluarga mangsa di Hospital Gua Musang di sini, hari ini.
Dalam kejadian 9 pagi tadi, Nik Muhamad Lutfi Kamarudin, 14, meninggal dunia selepas mengalami kecederaan di kepala akibat dihempap tiang gol yang tumbang ketika bermain bola sepak bersama rakan.
Berikutan kejadian itu, semua 592 sekolah di negeri ini diarah mengeluarkan peralatan sukan dan perkakasan lain yang sudah uzur dan tidak selamat mulai hari ini.
Ab Aziz berkata, arahan tidak terhad kepada dalam bilik darjah sebaliknya luar bangunan juga.
0 comments:
Catat Ulasan