Pihak polis terpaksa menggali semula kubur dipercayai milik seorang bayi lelaki selepas dikebumikan ahli keluarga tanpa kebenaran di tanah perkuburan Islam Bandar Jertih, di sini, kira-kira jam 4 petang kelmarin.
Ketua Polis Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, tindakan itu diambil susulan laporan polis dibuat pihak Hospital Besut mengenai seorang pesakit wanita berusia 21 tahun yang datang mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan, kira-kira jam 11 malam, Ahad lepas.
Menurutnya, pihak hospital mendakwa wanita yang merupakan penuntut sebuah kolej swasta itu memberitahu telah melahirkan anak di dalam tandas rumahnya, bagaimanapun bayi tersebut sudah meninggal dunia.
Menurutnya, wanita itu memberitahu pihak hospital yang jenazah bayinya dikebumikan ahli keluarga di Tanah Perkuburan Islam Bandar Jertih, sementara abang kandungnya membuat laporan polis menyatakan pesakit dan bayinya dibawa ke hospital.
“Pegawai perubatan dan hospital menafikan ada menerima serta mengesahkan punca kematian dan memberi kebenaran mengebumikan bayi tersebut,” katanya.
Susulan itu, polis terpaksa mendapatkan perintah mahkamah bagi menggali semula kubur bayi lelaki tersebut yang ditanam pada malam Ahad.
“Selepas mendapat perintah mahkamah, sepasukan anggota forensik menggali semula kubur tersebut yang turut disaksikan abang wanita itu untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya.
Kata Mohd Zamri, mayat bayi cukup sifat tersebut dihantar ke hospital untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada waris wanita itu untuk dikebumikan semula.
Menurutnya, wanita belum bersuami itu dikatakan melahirkan bayi tersebut di dalam tandas rumahnya di sebuah kampung yang terletak kira-kira 10 kilometer daripada kubur tersebut dan dia kini dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan lanjut.
Hasil bedah siasat mendapati tidak ada unsur jenayah yang menyebabkan punca kematian bayi tersebut, namun siasatan lanjut sedang dilakukan termasuk usaha mengesan pasangan wanita itu.
Menurutnya, bayi lelaki tersebut dipercayai dilahirkan cukup bulan dan sebelum ini ahli keluarga dikatakan tidak mengetahui wanita itu mengandung.
“Wanita itu tidak tinggal bersama keluarga kerana belajar di kolej swasta di luar daerah ini dan pulang ke rumah sempena Aidilfitri baru-baru ini. Ahli keluarga mengetahui selepas wanita itu mengadu sakit perut dan bersalin, sebelum membawanya ke hospital memandangkan berlaku kecederaan pada vagina,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini tidak ada sebarang tangkapan dilakukan dan siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
0 comments:
Catat Ulasan