Sebuah badan amal, Sea Shepherd Global (SSG) menyiarkan gambar menyayat hati yang menunjukkan beratus-ratus ekor ikan paus dibunuh secara kejam oleh pihak tidak bertanggungjawab di tepi pantai Hvannasund dekat sini, baru-baru ini.
Express UK melaporkan, penduduk di kepulauan itu juga dilihat berkumpul di kawasan ber-kenaan dengan air laut dipenuhi darah ikan paus. Dianggarkan terdapat 120 bangkai ikan paus di tepi pantai terbabit.
Menurut Pengarah SSG Belanda, Geert Vons, pihaknya telah menjalankan kempen membantah pembunuhan ikan paus sejak 1983 dan menyifatkan tindakan tersebut adalah haram.
Malah jelasnya, SSG bercadang untuk ‘mengheret’ beberapa pihak bagi tindakan selanjutnya.
“Kita sedang dalam proses untuk menubuhkan prosiding undang-undang bagi membawa pihak berkaitan ke muka pe-ngadilan.
“Kepulauan Faroe tidak boleh menguatkuasakan undang-undang melindungi amalan penyembelihan ikan paus tanpa sokongan pihak keselamatan,” katanya.
Sementara itu, peguam SSG, Liesbeth Zegveld berkata, penangkapan ikan paus adalah haram.
“Perbuatan itu menyalahi undang-undang di Eropah dan Denmark serta Kepulauan Faroe. Denmark mendakwa Kepulauan Faroe perlu memutuskan sama ada mahu menghentikan penangkapan ikan paus atau tidak, tetapi ini tidak benar,” katanya.
Kepulauan Faroe adalah sebuah negara autonomi Denmark dan mempunyai kawalan ke atas isu-isu domestik tetapi berada di bawah Copenhagen untuk ketenteraan, kehakiman dan hal ehwal luar.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Kepulauan Faroe menegaskan tangkapan ikan paus dijalankan mengikut undang-undang antarabangsa dan prinsip-prinsip yang diiktiraf secara global.
“Tangkapan dikawal selia sepenuhnya oleh undang-undang, dengan penekanan terhadap kebajikan haiwan dan perlesenan adalah diwajibkan bagi sesiapa yang mahu menggunakan kaedah mandatori serta peralatan,” jelas pihak terbabit.
0 comments:
Catat Ulasan