Seorang pemilik kereta terpaksa berputih mata apabila keretanya kemek akibat ditimpa sampah yang dipercayai dibuang dari atas Flat Mutiara Idaman 1 di sini.
Wanita yang enggan namanya dikenali itu memberitahu, dalam kejadian Sabtu lalu, adiknya meletakkan kereta di tempat yang betul.
“Memang ada petak kuning untuk letak kereta, bukannya kami letak di tempat yang salah.
“Tapi tak sangka tidak lama kemudiannya, setelah kembali kami dapati bahagian bumbung kereta penuh dengan sampah, bumbung kereta kami juga kemek,” katanya.
Lebih menjijikkan apabila sampah yang dibaling tersebut dipenuhi dengan lampin pakai buang bernajis.
Wanita itu kemudiannya bertemu dengan beberapa pemilik rumah di tempat yang sama bagi mengenal pasti individu tidak bertanggungjawab berkenaan.
“Tetapi semua tidak mengaku dan lebih menyedihkan apabila adik saya terpaksa membuat tuntutan atas insurans kenderaannya sendiri.
“Pada saya, ini memang tak patut berlaku, malah ada yang mengatakan itu adalah kawasan ‘panas’ kerana kejadian sama selalu berulang.
“Tetapi kami juga berasa aneh kerana jika selalu terjadi kenapa tiada jalan penyelesaian, selepas ini mungkin ada mangsa lagi,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Mohd Yusoff Mohd Noor memaklumkan pihaknya sedia maklum dengan kejadian berkenaan.
“Sebelum ini MBPP dan persatuan penduduk sering kali ambil tindakan seperti melakukan kerja pembersihan dan juga kesedaran.
“Semua ini berbalik kepada sikap masyarakat itu sendiri, saya juga berharap supaya masyarakat terutama penduduk di situ lebih prihatin dengan kebersihan,” katanya.
0 comments:
Catat Ulasan