Cuaca panas yang melampau menyebabkan situasi kurang selesa kepada kebanyakan haiwan, terutamanya ular.
Pengurus taman ular dan reptilia Perlis, Samsulwadi Md Salleh berkata, ini menyebabkan ular-ular yang berdarah sejuk akan mencari kawasan lebih lembap untuk berlindung.
Menurutnya, kebakaran semak dan hutan akibat cuaca panas juga menjadi punca ular keluar untuk mencari habitat yang lebih sesuai.
"Ular memerlukan dua jenis suhu. Satu untuk ia berjemur, satu untuk ia lembab. Reptilia ini perlukan kelembapan. Ia perlukan cuaca panas untuk proses penghadaman makanan dengan cepat.
“Dengan keadaan sekarang ini, cuaca memang panas. Jadi apabila terlalu panas, ia akan berasa tidak selesa. Sebab keutamaan ia adalah suhu yang lembab.
“Reptilia ini suka suhu yang lembab. Jadi, dari habitat dia yang panas, dia akan turun dari kawasan bukit mencari kelembapan. Kelembapan ini hampir dengan kawasan kediaman manusia, contohnya di dalam rumah atau di kawasan rumah.
“Macam kita selalu gunakan paip air, atau dalam saluran longkang kita, ini adalah tempat yang ular suka ketika ini,” katanya
.
Tambahnya, kediaman manusia juga berisiko menjadi tempat pilihan ular untuk berlindung kerana suhunya yang lebih sejuk.
Beliau turut berkata oleh kerana kekerapan bersemuka dengan ular di kediaman agak tinggi pasa masa sekarang, langkah berjaga-jaga harus diambil oleh semua pihak.
KES TERBARU YANG MELIBATKAN ULAR
Seorang meninggal dunia manakala tiga lagi cedera dipatuk ular berbisa di negeri ini sejak Januari hingga Selasa lepas, kata Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Khairi Ahmad.
Beliau berkata, sepanjang tahun lepas pula, seorang maut manakala empat lagi cedera dipatuk reptilia berbisa itu di Kelantan.
Mangsa yang dipatuk ular itu tinggal di jajahan Kota Baharu, Pasir Mas, Bachok dan Pasir Puteh, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Selasa lepas, seorang murid perempuan Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Hashim 1, Pengkalan Chepa di sini, maut akibat digigit haiwan berbisa dipercayai ular ketika waktu rehat.
Allahyarham Nuriey Nadhirah Roslan, 7, dipatuk reptilia itu di betis kiri ketika bermain di kawasan taman di hadapan kelasnya pada waktu rehat, kira-kira jam 10 pagi.
Mohamad Khairi berkata, dalam kejadian Ogos tahun lepas, seorang pemuda Mohd Shahrul Abdul Kadir, (27 tahun waktu kejadian) dari Kampung Kayu Rendang, Melor, maut dipatuk ular tedung ketika sedang mengutip cendawan berhampiran rumahnya.
Sehubungan itu, Mohamad Khairi menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan reptilia tersebut dengan memastikan kawasan persekitaran bersih dan tiada bahan-bahan seperti timbunan kayu terbiar sehingga menjadi sarang haiwan berbisa.
0 comments:
Catat Ulasan