Kemunculan seekor buaya di sepanjang Pantai Puteri, Tanjung Kling, hari ini menggemparkan penduduk tempatan dan pengunjung kawasan berkenaan.
Malah pengunjung yang berada di laut turut naik ke pantai selain penduduk kampung sekitar pantai berkenaan menghentikan kenderaan di bahu jalan untuk melihat buaya itu kira-kira jam 9 pagi.
Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Pegawai Bomba Kanan II, K Kalaiselvam berkata, pasukannya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan jam 10.53 pagi.
"Seramai lapan anggota bersama satu jentera dan EMRS ke lokasi dan sebaik sahaja tiba kita dapati memang benar terdapat seekor buaya tetapi buaya itu berada di laut dan sukar untuk menangkapnya.
"Tindakan awal, kita sudah melarang dan memberi amaran kepada pengujung pantai untuk tidak turun ke laut," katanya ketika ditemui di sini.
Menurut Kalaiselvam, haiwan tersebut sekadar berenang dan melintasi sepanjang pantai sebelum memasuki kawasan penapisan minyak di Sungai Udang.
"Kita sudah maklumkan penemuan buaya itu kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut dan kita beredar selepas buaya berkenaan memasuki kawasan penapisan minyak," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Noorzakiahanum Mohd Noh berkata, penangkapan reptilia di lautan memerlukan perancangan teliti.
"Sebaik menerima maklumat, kita menghantar anggota ke kawasan pantai itu yang memang menjadi laluan buaya dan penduduk juga sudah sedia maklum perkara ini.
"Menangkap buaya perlu ada perancangan, kalau tersekat atau terperangkap pada jaring baru boleh kita tangkap," katanya ketika dihubungi di sini.
0 comments:
Catat Ulasan