PENCARIAN logo rasmi skuad Harimau Malaysia kini masuk ke fasa terakhir apabila lima finalis dengan rekaan masing-masing, terpilih sebagai calon akhir.
Namun mungkin teguran yang diberi oleh seorang pelukis grafik atau illustrator profesional ini perlu diambil sebagai iktibar bukan sahaja oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), tetapi juga peserta yang mengambil bahagian.
Pengguna Facebook dengan nama A'an Hj Arshad, meluahkan kekesalan dan rasa hairannya apabila lima logo yang terpilih terdiri daripada karya yang terlalu banyak kesilapan teknikal.
A'an, yang pernah bertugas sebagai Ketua Unit Ilustrasi di salah sebuah syarikat penerbitan, menekankan beberapa aspek kesalahan, antaranya komposisi imej harimau dan logo yang didakwa punya unsur 'meniru'.
Malah, A'an juga turut menegur logo skuad Harimau Muda, yang disifatkan sebagai 'dosa paling besar' kerana tidak dihasilkan melalui proses rekaan yang betul.
Dalam masa yang sama, A'an berharap tegurannya itu diambil secara positif oleh mereka yang menghasilkan logo-logo tersebut, apatah lagi teguran yang dibuat adalah mensasarkan kepada kredibiliti panel pemilihan FAM.
Pemilihan logo rasmi Harimau Malaysia kini sedang berlangsung di laman web undiharimaumalaysia.com, di mana penyokong boleh mengundi logo yang paling disukai.
0 comments:
Catat Ulasan