Sudahlah lambat memulakan konsert, peminat pula dimaki dengan kata-kata kesat.
Begitulah ‘penghargaan’ ratu pop, Madonna kepada peminatnya yang terpaksa menunggu hampir satu jam sebelum penyanyi sensasi itu naik ke pentas dalam konsert jelajah Rebel Heart di Manchester Arena, England yang dihadiri lebih 20,000 penonton, Isnin lalu.
Dalam konsert terbabit, penonton turut menjerit ‘boo’ selepas penyanyi berusia 57 tahun itu mengakhiri persembahannya tanpa lagu ‘encore’.
Sebaliknya, Madonna menyuruh penonton diam disusuli kata-kata kesat.
Menyedari tindakannya itu menimbulkan kemarahan peminat, Madonna menjelaskan keadaan sebenar menerusi laman Facebook, kelmarin.
Penyanyi itu turut meminta maaf kerana terpaksa menggugurkan tiga lagu dalam persembahannya itu berikutan masalah teknikal.
Menurut Madonna, klip video untuk persembahannya didapati rosak ketika melakukan pemeriksaan bunyi.
“Video itu penting kerana ia menyokong 75 peratus daripada persembahan. Kami tidak boleh melakukan persembahan dalam gelap dan masalah tayangan klip video itu hanya selesai pada jam 9.30 malam.
“Malah, saya juga terpaksa membuat beberapa perubahan dan membuang lagu Dress You Up serta persembahan gitar ketiga. Namun, persembahan tetap melepasi had waktu yang dibenarkan iaitu jam 11 malam,” katanya yang terpaksa menamatkan persembahan pada jam 11.39 malam.
Madonna berkata, dia juga lega kerana pemilik arena membenarkan persembahan yang sepatutnya tidak boleh melebihi jam 11 malam diteruskan.
“Bukan pilihan saya untuk menamatkan persembahan. Saya kesal tidak dapat menyanyikan tiga lagu terakhir dan berasakan peminat memahami situasi itu. Kami sudah melakukan yang terbaik malah dikehendaki membayar denda,” katanya.
Terdahulu di konsert, Madonna tidak menenangkan penonton yang kecewa dengan kelewatannya sebalik bersikap kasar terhadap mereka.
“Saya tidak suka lambat dan anda semua yang asyik merungut mengenainya boleh diam. Saya bukan makan coklat, mengecat kuku dan mencantikkan rambut di belakang pentas,” katanya.
Selain itu, Madonna turut meminta penonton yang tidak berpuas hati dengan tidak datang menyaksikan persembahanya.
Malang juga buat peminat di Australia apabila Madonna mengambil keputusan untuk mengakhiri konsert jelajahnya tiga hari lebih awal.
Ini bukan kali pertama penyanyi itu menimbulkan masalah terhadap peminatnya.
Pada 2012, Madonna mengugut tidak mahu membuat persembahan selepas ternampak sekumpulan individu yang merokok di luar arena di Santiago, Chile.
Ketika itu, Madonna menjalani pemeriksaan bunyi dan rakaman video teguran penyanyi itu terhadap kumpulan terbabit dimuat naik dalam YouTube.
0 comments:
Catat Ulasan