Kajang: Seorang penjenayah ‘toyol gemuk’ dibelasah orang ramai hingga lembik dan terpaksa dikejarkan ke hospital selepas didapati memecah masuk rumah.
Dalam kejadian jam 9.30 malam, suspek bersama seorang lagi rakannya menceroboh masuk rumah teres dua tingkat di Alam Damai, Cheras, di sini.
Sumber polis berkata, kegiatan suspek disedari jiran mangsa yang menyedari kelibat suspek cuba melarikan diri.
“Beberapa penduduk mengejar suspek dan berjaya menangkap salah seorang daripada mereka.
“Orang awam yang geram dengan perbuatan lelaki itu terus membelasahnya sehingga lembik, selain menyebabkan kecederaan di kepala,” katanya.
Menurutnya, seorang lagi rakan suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri dengan menaiki kereta.
“Suspek dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk mendapat rawatan lanjut.
“Suspek berusia 39 tahun itu bagaimanapun dilaporkan stabil dan ditahan untuk siasatan lanjut, “katanya.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas badan suspek tidak menemui barang kes.
“Bagaimanapun, rakan suspek yang terlepas dalam kejadian itu berjaya melarikan wang tunai RM5,000 dari rumah mangsa.
“Gerakan memburu suspek giat dijalankan dan polis yakin berjaya menahannya dalam masa terdekat.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah,” katanya.
0 comments:
Catat Ulasan