Memegang rokok-e VAPE @ VAPOR di tempat awam bukanlah sesuatu yang luar biasa dan ‘pelik’ dipandang tidak kira anda lelaki atau perempuan, bahkan anda boleh dianggap ‘cool’ kerana mengikut trend terkini.
Mendengar pendapat beberapa pengguna vapor yang dulunya bukan perokok, mereka menganggap vapor ibarat lambang gaya hidup baru sehingga dikaitkan dengan trend terkini.
Manakan tidak, hampir 90 peratus perokok biasa beralih kepada vapor sejak ia mula popular beberapa tahun kebelakangan ini.
Menyingkap sejarah awal penularan e-rokok atau ‘vapor’ di negara ini sudah menapak sejak tahun 2009. Ketika itu, penjualannya di pasaran belum ‘meriah’ seperti hari ini kerana dijual secara atas talian. Kini, semakin ramai perokok beralih kepada trend baru ini, semakin ia menjadi ‘gelombang’ besar dalam masyarakat.
Komuniti tegar vape
Sejak ia menjadi fenomena dalam masyarakat, wujud beratus komuniti vape yang boleh kita lihat di media sosial. Ia diwujudkan untuk berkongsi idea, maklumat, menjual produk bahkan adanya perjumpaan bersama.
Situasi ini secara tak langsung menimbulkan banyak persoalan dalam masyarakat. Kenapa perlu diwujudkan komuniti sekiranya produknya dijual secara terbuka dan mudah didapati? Mungkinlah forum berbual dapat membantu pengguna vape yang baru berjinak mendapatkan produk berkualiti dengan harga berpatutan.
Lebih jimat atau sebaliknya?
Menurut salah seorang penjual vape yang ditemui berkata, kebanyakan rokok elektronik adalah dari China dan ia benar-benar mahal ketika awal pengenalannya. Untuk mod yang berbentuk pen boleh mencapai kira-kira RM200, sekitar tiga tahun lalu.
Namun kini, kos hanya kira-kira RM15 dengan kemasukan banyak barangan buatan China. Pun begitu, apabila trendd ini ‘meletup’ pelbagai mod mula diimport dari Amerika Syarikat dan United Kingdom dengan harga yang tinggi.
Bagi yang ingin berhenti merokok dengan beralih kepada vapor mungkin ada strategi sendiri. Tapi bagi yang tidak tahu tujuan sebenar, apa tarikannya?
Pengguna vape kini dilihat seakan-akan berlumba untuk memiliki mod yang dikatakan berkualiti. Justeru adanya sebatang mod dibeli dengan harga mencecah ribuan ringgit.
Berbalik kepada perisanya,sebotol 30mililiter (ml) adalah sekitar RM90 manakala bagi jenama Malaysia, boleh didapati dengan harga RM50 atau ke bawah bagi kandungan sama.
Melihat kepada penggunaan vapor, penulis berpendapat ia seakan sama seperti membeli rokok konvensional. Mungkin ada sebahagian yang menghisap terlalu kerap hingga terpaksa berbelanja melebihi rokok biasa.
Konsepnya sama seperti petrol untuk mengisi kereta, tidak kira apa tujuan anda sama ada suka-suka atau ada tujuan tersendiri, anda tetap memerlukan perisa untuk menghisapnya. Aliran duit tetap keluar, bergantung kepada kita untuk mengawalnya.
Bahaya atau tidak?
Tidak dinafikan, ramai orang menganggap asap e-rokok tidak merbahaya malah penggunaannya juga dikatakan jauh lebih selamat berbanding rokok biasa. Namun, sejauh mana kebenaran tanggapan ini?
Meskipun ada yang menolak penggunaan vape dalam masyarakat, ada beberapa pertubuhan yang bersetuju dengan idea rokok elektrik. Contohnya, Pertubuhan Ahli Fizik Kesihatan Awam Amerika (AAPHP) menyokong penjualan vape kepada orang dewasa.
Ini kerana ia berkemungkinan menyelamatkan empat daripada lapan juta perokok di negara itu. Angka asal itu dipercayai mati disebabkan penyakit berkaitan tembakau dalam masa 20 tahun.
Rosakkan DNA
Laporan dalam web portal, TimesofIndia pada Februari lalu menjelaskan, Profesor dari Johns Hopkins Bloomberg School of Public Health di Amerika Syarikat, Shyam Biswal mendapati vape membahayakan kekebalan tubuh dan mampu mendatangkan keburukan kepada paru-paru.
Untuk membuktikan kebenarannya, kajian dijalankan keatas dua kumpulan tikus. Kelompok pertama diletakkan dalam ruangan inhalasi mengandungi asap vape dan kelompok kedua hanya dibiarkan dengan udara biasa.
Hasil mendapati, tikus terdedah kepada asap vape mengalami gangguan imunisasi selain jangkitan bakteria. Ini kerana, asap rokok elektrik terkandung radikal bebas atau racun yang mampu merosakkan DNA dan molekul dalam sel sehingga berupaya menyebabkan kematian sel tubuh.
Cecair Vape buatan sendiri
Risiko kanser
Dalam kajian lain, penyelidik mendapati karsinogen seperti formalin dan asetaldehida yang terkandung dalam wap vaporizer menjadi pencetus kanser penyebab kematian.
Dalam huraian mudah, vape dipercayai mengandungi jenis nikotin bervariasi iaitu nikotin pelarut, propilen glikol, dietilen glikol, dan gliseren yang apabila dipanaskan akan menghasilkan nitrosamine berupa wap. Larutan nitrosamine ini difahamkan mampu menjadi penyebab kanser.
Walaupun sudah bertahun bertapak, isu sama ada vape berbahaya atau tidak masih dibahaskan. Ada yang mendakwa berjaya berhenti merokok apabila menggunakan vape dan tidak kurang yang percaya bahaya vape.
Pelbagai idea dan pendapat disuara, namun hanya kita sendiri yang menilai sama ada mahu teruskan atau sebaliknya.
0 comments:
Catat Ulasan