NEW YORK – Harga minyak melonjak tinggi kelmarin selepas kerajaan Amerika Syarikat (AS) menurunkan anggaran pengeluaran domestiknya.
Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pula berkata, organisasi itu telah bersedia untuk mengadakan perbincangan mengenai harga komoditi itu yang rendah akhir-akhir ini.
Harga dagangan minyak West Texas Intermediate (WTI) di AS bagi Oktober meningkat AS$3.98 (RM16.49) iaitu sebanyak 8.8 peratus kepada AS$49.20 (RM203) setong.
Di London, harga minyak mentah Brent bagi Oktober pula ditutup pada AS$54.15 (RM224) setong, naik AS$4.10 (RM17) iaitu 8.2 peratus berbanding dagangan pada Jumaat.
Harga minyak dibuka rendah kelmarin, namun kembali pulih selepas Jabatan Tenaga AS berkata bahawa bahawa pengeluaran domestik AS pada Jun ialah sebanyak 9.3 juta tong sehari iaitu hampir 100,000 tong lebih rendah dari anggaran sebelum ini.
Anggaran bulanan bagi tempoh Januari hingga Mei pula telah disemak lebih rendah dengan hanya 130,000 tong sehari.
Pengeluaran AS telah berjalan pada paras rekod sejak awal tahun ini sekali gus memburukkan lagi keadaan lebihan penawaran global.
OPEC yang bertanggungjawab terhadap kira-kira 40 peratus daripada pengeluaran minyak mentah global pada masa yang sama telah mengikat tekanan harga kepada pengeluaran yang lebih tinggi dan spekulasi pasaran.
“Tidak ada apa yang perlu dikatakan, OPEC seperti biasa akan terus menggunakan segala kuasa bagi mewujudkan hak yang membolehkan persekitaran pasaran minyak mencapai keseimbangan harga yang berpatutan dan munasabah,” kata OPEC dalam laporan bulanan. – AFP
0 comments:
Catat Ulasan