
CHINA. Satu lagi kemalangan membabitkan eskalator kembali menjadi tajuk akhbar di China, kali ini membabitkan seorang tukang sapu yang 'ditelan' oleh tangga bergerak itu.
Kejadian berlaku di sebuah pusat beli-belah Cloud Nine di Zhongshan Park, Shanghai pada Sabtu lalu.
Menurut media tempatan, kemalangan berlaku semasa tukang sapu terbabit, Zhang, 35, menyapu eskalator itu.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan, Zhang sedang mengemop permukaan eskalator sebelum satu panel logam terbalik menyebabkan kaki kirinya tersepit.
Bagaimanapun, nyawa lelaki itu sempat diselamatkan apabila anggota bomba berjaya mengeluarkan kakinya dari mesin berkenaan.
"Doktor memberitahu bahawa kaki kirinya terpaksa dibuang bagi mengelakkan jangkitan," menurut salah seorang ahli keluarganya kepada agensi berita Xinhua.
Siasatan mendapati, Zhang cuai ketika menjalankan tugas kerana tidak mematikan eskalator itu sebelum membersihkannya.
Ini adalah kemalangan eskalator ketiga di China sejak kebelakangan ini.
Minggu lalu, seorang ibu muda di Jiangzhou, maut apabila lantai eskalator digunakannya tiba-tiba runtuh.
Di wilayah Guangxi pula, tangan seorang kanak-kanak berusia setahun tersepit dan diheret eskalator menyebabkan mangsa mengalami keretakan tulang serius pada lengan kiri. - CNN
0 comments:
Catat Ulasan