
JERAI 9 Ogos - Impian seorang peminat sukan lasak untuk meluncur di udara berakhir dengan tragedi apabila dia maut selepas payung yang digunakan ketika menjalani sukan paragliding di Gunung Jerai di sini hari ini, tersasar daripada laluan akibat perubahan arah angin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa, Liang Chong Kee, 52, yang merupakan penumpang paragliding itu maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dipercayai terhempas pada batu.
Turut maut dalam kejadian itu ialah seorang anggota polis yang bertugas di Balai Polis Simpang Empat, Perlis, Mohd. Hazlan Ismail, 32, yang menjadi juruterbang tandem paragliding tersebut.
Difahamkan, kedua-dua mereka terjun dari tapak pelepasan yang terletak di ketinggian 660 meter di Kilometer 7, Gunung Jerai dan dijangka mendarat di tapak pendaratan di Kampung Titi Teras, Yan namun disebabkan perubahan angin, payung luncur berubah haluan dan mereka terhempas pada batu.
Mayat kedua-dua mereka ditemukan tersangkut di atas pokok yang berada di tebing curam kira-kira 20 meter dari tapak pelepasan tersebut dan mayat kedua-duanya berjaya dibawa turun oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kira-kira pukul 3.21 petang.
Menurut jiran kepada Chong Kee, Tan Tong Huat, 63, Chong Kee yang bekerja sebagai sub kontraktor sangat menyukai sukan ekstrem dan sebelum ini rakannya itu bergiat aktif dalam sukan lumba motocross.
Chong Kee sangat gemar dengan sukan lasak, sebelum ini dia ada beritahu saya dia mempunyai angan-angan untuk terbang meluncur di udara tetapi saya selalu halang dia kerana bimbang dengan keselamatannya.
Dia tidak beritahu kepada sesiapa yang dia ingin terbang hari ini dan saya sangat terkejut apabila menerima berita mengenai kemalangan yang menimpanya sewaktu sedang terbang hari ini,” katanya ketika ditemui di kaki Gunung Jerai di sini hari ini.
Dalam pada itu ibu saudara kepada Mohd. Hazlan, Cik Jamaliah Bakar, 39, berkata, Hazlan merupakan seorang yang sangat aktif dalam sukan luncur udara dan dia pernah meluncur di banyak lokasi sebelum ini.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi JBPM negeri, Nazri Zakaria berkata, selain dua mangsa tersebut, turut serta dalam aktiviti paragliding di puncak Gunung Jerai itu ialah tujuh lagi ahli sebuah kelab luncur udara di utara.
Kedua-dua mangsa merupakan penerjun yang pertama dan selepas kemalangan itu berlaku pihak bomba perlu merangkak selama 10 minit dari lokasi kejadian untuk mengeluarkan mangsa dari situ.
“Pihak kami ingin menasihatkan orang awam yang ingin menjalankan aktiviti paragliding di situ agar memaklumkan kepada polis dan bomba terlebih dahulu dan melihat keadaan cuaca sebelum terjun,” jelasnya.








0 comments:
Catat Ulasan