
SABAH - Seorang bayi perempuan berusia 18 bulan bernasib baik apabila terselamat selepas diterbangkan ribut sejauh 150 meter dalam kejadian di Kampung Dungang, Tuaran di sini malam tadi.
Pegawai Daerah Tuaran, Abdul Mohd. Ibnu Abdul Kadir Baba berkata, kejadian mengejutkan itu berlaku kira-kira pukul 11.50 malam tadi ketika mangsa Norhasyikin Jainudin sedang tidur di dalam buaian.
Menurutnya, buaian bayi itu diikat pada alang bumbung rumah sebelum diterbangkan angin bersama bumbung rumah berkenaan.
“Kanak-kanak yang diterbangkan bersama atap rumah itu ditemui di kawasan sawah padi berhampiran rumahnya kira-kira pukul 12.15 tengah malam,” katanya.
Tambah Abdul Mohd. Ibnu, mangsa kemudian dibawa oleh penduduk kampung ke Hospital Tuaran untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Kata beliau, hasil pemeriksaan mendapati Nurhasyikin mengalami kecederaan pada peha dan kaki sebelah kanan.
“Mangsa kini dipindahkan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas untuk mendapatkan rawatan susulan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintenden Abdul Fuad Abdul Malik mengesahkan mengenai kejadian itu.Ujar beliau, tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung kejadian itu.
Sementara itu, ibu mangsa, Nurhayba Nahsid, 25, memberitahu, dia bersyukur anak bongsu daripada dua beradik itu terselamat.Tambahnya, ketika kejadian Nurhasyikin sedang tidur dalam buaian di rumah mereka.
“Ketika angin ribut dan atap bergegar, saya cuba menahan buaian daripada terbang tetapi gagal,” katanya.
0 comments:
Catat Ulasan