Blog Yang Memaparkan Isu Isu Semasa Yang Tular (Viral)

24 September 2014

KISAH ADIWIRA "BATMAN" SEMASA KECIL DALAM DRAMA BERSIRI

Gotham tanpa Batman

Biarpun kota metropolitan Gotham City tidak wujud, ia cukup gah dalam kala­ngan peminat kisah adiwira kerana itu tempat kelahiran Batman.


Kini, kisah Bruce Wayne atau Batman, karakter utama serta penjahat popular di kota metropolitan itu dimuatkan dalam drama bersiri televisyen menarik berjudul Gotham.

Istimewanya, peminat di Malaysia berpeluang menyaksikan drama itu menerusi saluran WarnerTV di Hypp TV, bermula jam 9 malam esok iaitu tiga hari selepas tayangan sulungnya di Amerika Syarikat.

Drama bersiri ciptaan Burno Heller dengan arahan Danny Cannon itu bukan cerita Batman biasa kerana watak utamanya adalah detektif terkenal di Balai Polis Gotham, James Gordon serta rakan setugasnya Harvey Bullock.

Penonton pasti pelik kerana hero Gotham sendiri iaitu Batman tiada dalam drama itu. Namun jangan risau kerana drama berkenaan turut memaparkan kehidupan Bruce Wayne pada zaman kanak-kanaknya.

Drama bersiri itu turut menampilkan kemunculan penjahat Oswald Cobblepot (Penguin), Ivy Pepper (Poison Ivy) dan Selina Kyle (Catwoman). 

Ia dijayakan barisan pelakon hebat dan baru antaranya Ben McKenzie (Gordon), Donal Logue (Bullock), Jada Pinkett-Smith (Fish Mooney), Sean Pertwee (Alfred Pennyworth), Robin Lord Tay­lor (Cobblepot), Camren Bicondova (Kyle), Clare Foley (Pepper) dan David Mazouz sebagai Bruce Wayne.

Menceritakan pembabitannya dalam Gotham, McKenzie berkata, dia bersetuju untuk melakonkan watak James Gordon kerana ingin bekerjasama dengan Burno Heller.

“Sebenarnya saya pernah terbabit dalam beberapa projek bersama Burno pada tahun lalu. Pada awal tahun, Burno menghubungi saya untuk melihat skrip yang ditulisnya. Dia memberitahu mencipta skrip Gordon sambil membayangkan watak itu adalah saya. Jadi saya pun setuju kerana ingin bekerjasama de­ngan Burno lagi.

“Kami mempu­nyai pendapat sama dalam banyak aspek dan saya seronok terbabit dalam pembikinan Gotham” katanya.

Mengenai watak Gordon, McKenzie berkata, detektif itu menjadi pegawai polis kerana ingin meneruskan legasi ayahnya.

“Gordon kemudian menyedari ayahnya bukan seperti disangka dan situasi bertambah rumit selepas itu. Dia masih baru dalam kerjayanya dan ditugaskan untuk menyelesaikan kematian pasangan Waynes. Drama ini akan memaparkan keadaan Gotham dari sudut pandangan mata Gordon,” katanya.

Tambahnya lagi, Gordon menyimpan cita-cita tinggi dan tabah berdepan pelbagai cabaran membabitkan penjenayah, rasuah dalam kala­ngan polis dan hakim.

“Dia terkejut melihat bertapa serius kes rasuah dan perbuatan tidak bermoral lain di Gotham. Justeru, dia berdepan kesukaran memikirkan cara untuk menjaga keamanan di kota ‘gelap’ itu,” katanya.

Menceritakan lanjut mengenai wataknya, McKenzie berkata, Gordon berusaha memastikan Bruce tidak membalas dendam atas kematian bapanya.

“Mereka berdepan nasib sama kerana masing-masing kehilangan bapa pada usia muda. Jim memahami situasi Bruce dan berusaha melatih budak itu menjadi lebih baik. Hubungan mereka ibarat bapa dan anak namun pada masa sama kebijaksanaan dimiliki Bruce menampakkan mereka seperti rakan karib,” katanya.

Sementara itu, McKenzie mendedahkan dia cedera di kepala ketika membuat aksi lasak di lokasi penggambaran Gotham, baru-baru ini.

“Saya secara tidak sengaja, saya terhantuk kepala pada dinding konkrit ketika melakonkan babak bergaduh. Akibatnya, saya mendapat beberapa jahitan di luka itu,” katanya.

Malah, pelakon itu berkata dia turut terbabit dalam kemalangan jalan raya tiga jam sebelum menghadiri program bual bicara Ellen DeGeneres.

“Saya terlanggar kereta seorang pemandu wanita yang tiba-tiba memasuki di lorong saya. Namun tiada kecederaan serius berlaku,” katanya.

Episod pertama Gotham memulakan kisahnya de­ngan Thomas Wayne bersama isterinya, Martha dibunuh de­ngan kejam di depan anak mereka, Bruce.

Pegawai polis, James Gordon dan rakan setugasnya, Harvey Bullock terus ditugaskan untuk menye­lesaikan kes jenayah itu. Episod ini turut memperkenalkam Fish Mooney yang kehidupannya mewah seperti raja.
Share:

0 comments:

Page Views

Viral Vision Media Co.. Dikuasakan oleh Blogger.
Propellerads

FEMES BLOG

KISAH SERAM !

TONTON INI