
KUALA LUMPUR - Akaun bank empat orang penumpang Penerbangan Malaysia (MAS) pesawat MH370 didapati telah digodam melibatkan pemindahan wang berjumlah sehingga RM100,000.
Kejadian tersebut disedari Pengurus Ibu Pejabat Bank HSBC di Leboh Ampang di sini pada 18 Julai lalu apabila mendapati wang daripada akaun empat penumpang MH370 iaitu Tan Size Hiang, 46, Ju Kun, 32, Hue Pui Heng, 66, dan Tian Jun Wei, 29, hilang daripada akaun masing-masing.
Empat pemegang akaun itu merupakan antara 239 penumpang dan anak kapal pesawat MH370 yang hilang daripada imbasan radar ketika pesawat itu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac lalu.
Selain itu, pengurus bank sama juga mendapati sebanyak RM35,000 lagi wang daripada akaun Pui Heng turut dipindahkan ke dalam akaun seorang lagi lelaki lain pada 14 Julai lalu.
Pengurus bank tersebut telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu namun sehingga sekarang belum ada tangkapan dibuat.
Size Hiang dan Pui Heng merupakan warga Malaysia manakala Ju Kun dan Jun Wei ialah warga China. Size Hiang ialah pramugara MH370 manakala Pui Heng tidak bekerja.
SUSULAN ITU..
Kerani bank ditahan
Seorang wanita yang juga pekerja sebuah bank ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan wang lebih RM100,000 daripada empat akaun milik penumpang Penerbangan Malaysia MH370 yang dilaporkan hilang pada 8 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu berkata, suspek ditahan di satu lokasi di Ampang jam 4 petang semalam.
“Suspek berusia 33 tahun ditahan jam 4 petang ini (semalam) di Ampang untuk membantu siasatan berhubung kehilangan wang lebih RM100,000 daripada empat akaun mangsa MH370.
“Dia yang bertugas sebagai kerani bank berkenaan disyaki terbabit dalam meluluskan proses pembaharuan kad pengeluaran wang automatik (ATM) akaun milik salah seorang mangsa,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Katanya, sebelum ini, wanita berkenaan diarahkan bercuti oleh pihak bank bagi membolehkan siasatan berhubung kehilangan wang itu dilakukan.








0 comments:
Catat Ulasan