Blog Yang Memaparkan Isu Isu Semasa Yang Tular (Viral)

22 Ogos 2014

MENYAMBUT KEPULANGAN JENAZAH - #MENGENANGMH17

#MENGENANGMH17

PUTRAJAYA - Kumpulan pertama jenazah mangsa nahas pesawat penerbangan MH17 selamat tiba di tanahair hampir 40 hari selepas insiden yang mencampakkan negara ke dalam tragedi berganda melibatkan syarikat penerbangan Malaysia Airlines.

Jalur Gemilang di seluruh negara dikibarkan separuh tiang bagi mengenang semua 298 penumpang dan anak kapal dan secara khusus 43 anak watan yang menaiki pesawat malang yang terhempas selepas ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.

Kumpulan pertama ini melibatkan 20 jenazah penumpang dan anak kapal yang telah dikenal pasti identiti mereka serta mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa Belanda untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Istiadat penghormatan jenazah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur disertai oleh Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta dif-dif kehormat dan orang kenamaan. Istiadat dikelolakan oleh Briged ke-12 Infantri Malaysia melibatkan 450 orang anggota.

Pesawat khas MAS yang berlepas dari Schipol pada pukul 9.40 malam Khamis waktu Malaysia mendarat di KLIA tepat pukul 9.54 pagi tadi.

Sejurus kemudian, satu demi satu keranda dibawa turun dengan hormat dan cermat oleh kumpulan pengusung terdiri daripada sembilan orang.


Kepulangan yang telah lama dinantikan. Sebaik sahaja dua pegawai Kedutaan Malaysia dan wakil Malaysia Airlines (MAS) membuat proses pemeriksaan akhir, 20 jenazah mangsa nahas MH17 akhirnya diterbangkan pulang ke tanah air pada 3.40 petang Khamis (9.40 malam waktu Malaysia).

Mereka sepatutnya pulang pada 17 Julai lepas dan tiba pada 18 Julai ke Malaysia, namun tiada siapa menyangka pesawat MH17 itu akan ditembak jatuh.

Penerbangan membawa 298 penumpang dan anak kapal yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.

Selain 43 warga Malaysia, penumpang pesawat itu turut terdiri daripada warga Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol, petugas media Malaysia dan tempatan tiba di sebuah bangunan untuk dibawa menaiki sebuah bas ke terminal kargo yang menempatkan pesawat khas membawa balik 20 jenazah.

Petugas media tiba kira-kira pukul 2 petang dan dibawa menghampiri pesawat khas MAS Boeing 747 itu sebelum pintu pesawat dibuka.

Kelihatan beberapa keranda telah disusun dan difahamkan kesemua 20 jenazah dalam 17 keranda dan tiga bekas abu itu telah mula diangkut satu per satu sejak awal pagi Khamis.

Proses pemeriksaan akhir jenazah bermula sejurus selepas 2 petang dilakukan Naib Presiden Operasi MAS Datuk Baharom Mohd Yatim, Setiausaha Kedua Pejabat Kedutaan Malaysia di Belanda, Halmah Hassan dan Kaunselor Kedutaan Malaysia di Finland, Devrin Jeck untuk tujuan formaliti proses.

Media Malaysia dan tempatan tidak dibenarkan mendekati pintu masuk pesawat khas itu dan hanya dapat melihat dari jarak 50 meter sahaja.

Kelihatan keranda yang dibalut dengan Jalur Gemilang itu disusun satu per satu, tidak bertindih dalam tiga barisan dengan sedikit jarak antara antara satu sama lain.

Cuaca sejuk mencecah 16 darjah Celcius dengan angin kuat tidak menghalang petugas media merakamkan detik bersejarah itu walaupun cuma dibenarkan berada di kawasan itu kira-kira 10 minit sahaja.

Terdapat kira-kira 20 petugas keselamatan yang dibantu pegawai lapangan terbang yang sangat mesra ketika proses rakaman pemeriksaan akhir pesawat itu dilakukan.

Sebaik sahaja selesai pemeriksaan, kelihatan wakil MAS dan pegawai kedutaan diserahkan beberapa kertas untuk tujuan formaliti proses sebelum mereka beredar dan keluar dari pesawat itu.

Tidak lama selepas itu, kumpulan anak kapal pesawat itu dilihat tiba dengan sebuah van sebelum menaiki pesawat itu.

Petugas media kemudian diarah meninggalkan kawasan itu memandangkan proses persediaan teknikal pelepasan pesawat akan bermula.

Pesawat itu dikendalikan Kapten Misman Leham bersama dua pembantu juruterbang iaitu Kapten Bakri Othman dan Kapten Zaim Khalid selain pegawai penerbangan Yap Yoon Kong.

Kira-kira pukul 3.40 petang Khamis (9.40 malam di Malaysia),  pesawat akhirnya berlepas meninggalkan lapangan terbang yang dipenuhi ratusan pesawat antarabangsa itu ke Malaysia.

Seorang wakil MAS yang enggan dikenali memberitahu pesawat khas itu tidak akan menggunakan laluan seperti pesawat MH17 sebelum ini dan dijangka akan menggunakan laluan lain namun enggan mendedahkannya demi tujuan keselamatan.

Perjalanan terus tanpa henti itu akan mengambil masa kira-kira 12 jam menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).


Datuk Seri Najib Abdul Razak menyeru semua rakyat Malaysia supaya bersatu sebagai sebuah negara dengan bertafakur selama seminit bagi menghormati mangsa tragedi MH17.

Beliau berkata, selepas proses pengecaman selama sebulan, kumpulan pertama 20 jenazah akan tiba pagi ini di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Esok (hari ini) ialah hari berkabung negara untuk kita. Kita berkabung atas kehilangan 298 nyawa dalam pesawat malang Malaysia Airlines MH17 yang terhempas pada 17 Julai, 2014.

"Marilah kita bersatu dengan bertafakur selama seminit sebagai satu negara sebagai menghormati mangsa tragedi itu," kata Perdana Menteri dalam catatannya menerusi laman Twitternya semalam.

Najib berkata orang ramai akan bertafakur selama seminit di seluruh negara dan waktu tafakur akan diumumkan melalui saluran rasmi radio dan televisyen.

Istiadat penghormatan penerimaan jenazah MH17 akan berlangsung di pekarangan Kompleks Bunga Raya di KLIA.

Perdana Menteri berkata beliau dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengiringi Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mengetuai negara memberi penghormatan terakhir kepada mangsa.

Para menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan juga akan hadir esok, kata beliau.

"Doa saya ialah untuk keluarga yang menunggu untuk menyambut ketibaan orang tersayang esok #MH17," kata beliau.

Menurut wartawan Bernama di Amsterdam, pesawat khas yang membawa jenazah 20 mangsa nahas MH17 warga Malaysia menuju ke Kuala Lumpur telah berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam pada 9.40 malam waktu Malaysia pada Khamis.

Share:

0 comments:

Page Views

Viral Vision Media Co.. Dikuasakan oleh Blogger.
Propellerads

FEMES BLOG

KISAH SERAM !

TONTON INI