Blog Yang Memaparkan Isu Isu Semasa Yang Tular (Viral)

14 Julai 2014

NAMPAK RINGKAS TAPI KAYA, NAMPAK BERGAYA TAPI MISKIN..

Ada kalanya ketika di pusat membeli-belah, saya perasan keadaan seorang wanita yang agak berusia berpakaian serba sederhana meninjau-ninjau barangan, tidak dilayan. Tetapi, seorang lelaki yang berpakaian serba segak - berkot dan tali leher, amat pantas dilayani dua orang jurujual.

Memang menjadi lumrah, yang cantik dan bergaya akan diberi perhatian. Kata orang putih ‘don’t judge a book by its cover’ yang bermaksud jangan sesekali melihat pada luaran saja kerana dalaman tiada siapa yang tahu. 

Siapa tahu, mungkin mak cik yang meninjau-ninjau barangan berpakaian serba sederhana itu seorang usahawan jutawan? Tidak siapa tahu juga, lelaki segak yang berpakaian hebat mungkin berhutang keliling pinggang dan terkejar-kejar membayar ansuran kereta setiap bulan. 

Pada hakikatnya, ramai yang berpegang pada pepatah ‘biar papa asal bergaya’. Hujung bulan, tidak hirau bank berbaki negatif asalkan bergaya dengan kereta mewah dan pakaian segak.


Konsep sebegini semestinya salah. Namun tulisan saya kali ini bukan untuk memberi teknik dan strategi berjimat dan menyimpan, tetapi lebih kepada hubungan antara wang dan cara kita melihat diri kita sendiri.

Selalunya, apabila memiliki wang, ia memberi keyakinan diri yang tinggi pada seseorang, berbanding dengan seseorang yang tidak mempunyai wang. Wang seolah-olah mempunyai kaitan dengan keyakinan diri. Ada kalanya juga wang akan membuat kita rasa gembira apabila sedang bersedih dengan kita keluar melakukan terapi membeli belah. Tetapi, ada kalanya juga, ia boleh membuatkan kita marah dan sedih bila kekurangan wang untuk perbelanjaan isi rumah dan keluarga. 

Menurut penyelidikan Universiti Yale, perkataan ‘wang’ adalah antara 10 perkataan teratas yang paling memainkan emosi seseorang manusia. Namun sebenarnya, wang pada zahirnya adalah sekeping kertas. 

Berbalik kepada persoalan sese­orang yang memakai pakaian kemas, berkot dan bertali leher dibandingkan dengan seorang yang berpakaian agak ring­kas mungkin hanya baju-T dan berseluar jean. Pastinya juga, seseorang yang memakai pakaian kemas akan dapat merasakan keyakinan pada diri sendiri meningkat. Keyakinan ini bertambah apabila mendapat layanan lebih baik daripada orang sekeliling. 

Namun tidak bermakna seseorang yang memakai baju-T dan seluar jean tidak mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Saya teringat beberapa ikon keusahawanan yang saya minati seperti Richard Branson dan Steve Jobs - dua-duanya jutawan - sering mengenakan pakaian ringkas walaupun di majlis rasmi. Ini kerana, bagi mereka, keyakinan diri tidak datang daripada cara berpakaian. 

Sememangnya memiliki wang mempu­nyai hubungan secara langsung kepada seseorang itu. Lebih wang, lebih tinggi keyakinan diri. Tetapi, ia tidak juga bermaksud sekiranya kurangnya wang, keyakinan diri menjadi rendah. 

Semuanya bergantung kepada individu itu sendiri. Keyakinan diri tidak datang daripada wang saja. Rezeki datang dalam pelbagai cara. Bukan hanya wang. Kesihatan, keluarga bahagia, ilmu pendidikan, kenalan, saudara mara dan sebagainya juga rezeki seseorang. Dengan melihat positif semua rezeki yang kita miliki dan menjadikannya picu untuk meningkatkan keyakinan diri, seseorang itu tetap dapat merasakan keyakinan diri meningkat. 

Apa yang perlu diingat adalah jangan mengukur orang berdasarkan penampilan luarannya saja. Orang yang pakai simple, jangan disangka tidak berduit. Orang pakai kot, kemeja, tali leher dan slack, tidak semestinya kaya. Apa yang penting adalah, melayan semua insan dengan baik tidak kira gaya dan penampilan. Tidak kira miskin ataupun kaya. Salam Ramadan. 


Soalan pembaca: 

Berinteraksi mengenai kewangan, perniagaan & motivasi di Facebook Irfan Khairi di fb.irfankhairi.com. Tanyakan soalan anda di sana! 

Salam Irfan Khairi, apakah tip untuk tidak lari bajet ketika bulan Ramadan dan menjelang Raya? 

ELLA WANIE, 
Shah Alam 

Jawapan: Memang diakui perbelanjaan sepanjang Ramadan dan menyambut Syawal biasanya lebih besar. Daripada belanja membeli juadah buka puasa hingga ke persiapan me­nyambut hari raya. Berikut adalah beberapa tip bajet sempena musim perayaan. 


1. Catatkan segala perbelanjaan 

Membeli juadah berbuka puasa di pasar Ramadan selalunya tidak diberikan resit. Sering kali juga kita terlupa dan tidak jejak perbelanjaan ketika membeli makanan dan minuman. Tanpa sedar, bajet makanan kita juga lari dan hanya tersedar apabila hampir raya dan poket kosong. 

Zaman dulu, kita boleh catat dalam buku 555. Zaman moden kini, apa kata catatkan ke dalam telefon pintar anda setiap perbelanjaan yang dilakukan walaupun kecil. Jejak perbelanjaan yang kecil ini supaya kita tahu jumlah tepat dan sedar berapa perbelanjaan harian kita. Dengan menjejak, maka kita tahu situasi perbelanjaan harian kita setiap hari pada bulan mulia ini. 


2. Kurangkan berbuka di luar 

Pasti kita tahu, berbuka puasa di luar selalunya lebih mahal daripada makan di rumah. Apa kata tahun ini kita mulakan berbuka di rumah. Jadikan aktiviti menyediakan juadah berbuka sebagai aktiviti bersama keluarga. Bukan saja menjimatkan wang, bahkan dapat merapatkan hubungan kekeluargaan. 


3. Sediakan bajet ketika membeli-belah untuk raya 

Musim perayaan pelbagai diskaun dan jualan istimewa ditawarkan di sini sana. Malah dua tiga minggu sebelum Ramadan banyak kedai sudah mula melakukan jualan istimewa. Pastikan sebelum keluar, tetap­kan bajet untuk beli belah bersama keluarga. Jangan pula jadikan raya setahun sekali sebagai alasan untuk berbelanja lebih. Untuk berjimat, bajet yang ditetapkan perlu diikuti. 


4. Bersederhana dalam meraikan hari raya 

Jangan lupa, kita menyambut hari raya untuk meraikan kemenangan kita menjalani ibadat puasa. Caranya pula bukanlah dengan membazir. Jadikan satu cabaran kepada diri sendiri untuk bukan saja menahan lapar ketika berpuasa, tetapi menahan diri daripada belanja berlebihan dan membazir. Sekira­nya pada tahun lepas kita banyak berbelanja, apa kata tahun ini cuba kurangkan perbelanjaan. Jadikan itu sebagai satu sasaran untuk dituju. 


5. Bajet untuk bersedekah 

Rezeki akan bertambah apabila kita bersedekah. Satu kita sedekahkan, pulangannya 10 kali ganda. Ini janji Allah. Jadi jangan risau harta kita akan berkurang apabila bersedekah, tambahan pula dalam bulan yang penuh keberkatan ini. Wang yang dapat dijimatkan menggunakan tip di atas, bolehlah disedekahkan sebahagiannya kepada mereka yang memerlukan. Bukan saja kita mendapat keberkatan dan pahala, tetapi aktiviti menderma itu sendiri akan memberi perasaan yang lebih hebat daripada membelanjakan wang untuk diri sendiri.
Share:

0 comments:

Page Views

Viral Vision Media Co.. Dikuasakan oleh Blogger.
Propellerads

FEMES BLOG

KISAH SERAM !

TONTON INI