Johor Bahru: Belum pun sempat beraya, seorang pelajar tahun enam putus jari akibat bermain `mercun bola`.
Seorang murid Tahun Enam putus jari manis serta melecur tangan, paha dan perut apabila mercun bola yang dinyalakan meletup dalam tangannya.
Kejadian pada jam 10 malam Jumaat lalu itu juga mungkin menyebabkan mangsa, Norhakime Rozan, hilang dua lagi jari yang cedera terlalu parah.
Norhakime bersama 11 lagi kanak-kanak lain sedang bermain mercun dan bunga api di kawasan belakang kediamannya di Senai, apabila dia membakar mercun bola tetapi ia meletup dalam genggaman.
“Saya terduduk dan menahan sakit apabila nampak tangan berdarah, manakala kawan yang lain melarikan diri,” katanya yang dirawat di Hospital Sultanah Aminah.
Norhakime berkata, nasib dua lagi jarinya akan ditentukan hari ini selepas doktor sebelum ini mendapati ia sukar diselamatkan.
“Buat masa ini, doktor memasukkan tiub pada jari telunjuk dan tengah, namun sekiranya esok (hari ini) jari saya masih lebam (kehitaman), ia mungkin dipotong.
Sedih hilang jari
“Saya sedih sebab kalau hilang satu jari mungkin saya masih boleh menulis, tetapi macam mana kalau dua lagi turut dipotong,” katanya.
Sementara itu, kakak Norhakime, Nurashikin Rozan, 24, berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh seorang jiran sebelum bergegas mendapatkan adiknya.
“Ketika itu, saya melihat adik sudah dimasukkan ke dalam sebuah kereta jiran untuk dibawa ke hospital sebelum saya membuat laporan di Balai Polis Senai pada hari kejadian.
“Saya bersyukur kejadian itu tidak meragut nyawa adik walaupun dia cedera dan saya berharap nasib malang angkara mercun itu menjadi iktibar kepada orang lain,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Ruslan Khalid, mengesahkan menerima laporan kejadian.
Sumber Akhbar Tempatan
0 comments:
Catat Ulasan