Lebaran yang dinanti-nanti akhirnya tiba lagi! bukan main seronok apabila Aidilfitri menjelma. Ramai anak muda sudahpun membuat persiapan awal seperti pembelian kuih raya dan pelbagai koleksi baju raya yang pelbagai corak dan warna. Namun, istilah bermegah-megah pada hari raya juga kian menular dalam kalangan remaja yang boleh merosakkan hubungan silaturahim dan keterlaluan ketika berbelanja.
Apakah yang dimaksudkan dengan bermegah? Senario ini boleh dilihat apabila rata-rata remaja terlalu bersikap menunjuk-nunjuk dengan apa yang dimiliki. Isu ini bukan saja boleh membawa kepada pembaziran tapi juga menggalakkan pergaduhan. Jika ditanya apa alasannya, kononnya untuk membuktikan diri sudah berjaya dan bangga dengan apa yang diperoleh.
Kalau nak diikutkan, memang betul semua orang inginkan sesuatu yang baru pada hari raya. Namun, dengan adanya wang yang berlebihan, agak sukar untuk menahan nafsu membeli macam-macam. Penulis sendiri percaya ramai anak muda kecundang menahan nafsu ‘shopping’ dan turut terjebak dalam pembaziran menjelang Aidilfitri.
Boros betul!
Pada minggu pertama Aidilfitri, ramai anak muda yang sibuk beraya di kampung dan di bandar. Tidak kurang juga mereka yang mengidam bergaya dengan pakaian cantik. Kalau nak diikutkan, kita memang digalakkan untuk berpakaian cantik, bersih dan baru. Namun, berbelanja sehingga mencecah ribuan ringgit hanya untuk pakaian adalah sesuatu pembaziran yang sangat ketara.
Bergaya dengan baju raya baru mengingatkan kembali penulis pada suasana raya tahun lalu di mana hampir semua anak muda menggayakan baju Melayu bertemakan songkok dan golongan gadis yang elok bertudung berbaju kurung. Mungkin tampak bergaya tapi percaya atau tidak, generasi Y hari ini selalu boros dan bermegah dengan apa yang dibeli.
Pakaian raya boleh mencecah sehingga puluhan ribu ringgit kerana terlalu gilakan berhias dan takbur dengan rezeki yang ada. Memang tidak salah untuk bergaya pada Aidilfitri tetapi berbelanja lebih hanya untuk pakaian adalah keterlaluan, bahkan tidak sepatutnya diamalkan. Isu ini bukan saja sinonim dengan wanita tapi juga lelaki.
Kita boleh lihat dalam kalangan rakan yang terlalu mengikut hawa nafsu dan boros dalam berbelanja. Alasannya, untuk tampil dengan gaya baru dan bangga dengan posisi baru dalam sesebuah syarikat. Kononnya, Aidilfitri tahun lalu tidak berpeluang untuk beli baju raya dan kemudian tahun ini pula dijadikan sebagai tahun ‘membalas dendam’ pada rakan-rakan yang dulunya bermegah-megah.
Tidak cukup dengan baju raya ratusan ringgit, ditambah pula dengan seluar, kain dan aksesori raya yang berjenama. Bagi eksekutif muda yang mudah menurutkan nafsu dan pada masa sama mendapat bonus raya, pasti sukar untuk mengekalkan perbelanjaan dan amalkan budaya menyimpan. Dengan wang yang banyak, ada saja yang ingin dibeli tanpa membuat perhitungan terlebih dulu.
Tayang benda baru
Pendek kata, pada hari raya semuanya harus baru. Bukan saja pakaian, malah dekorasi rumah juga harus baru. Kadangkala suka sangat bermegah sehingga boleh buat orang lain rasa meluat. Mana tidaknya, balang kuih, dekorasi rumah semuanya harus baru dan mahal sehingga tidak cukup baget untuk perbelanjaan lain.
Ada juga yang begitu taasub sehingga menukar hampir semua perkakas dan perabot rumah seperti langsir, lampu dan lain-lain. Itu sebenarnya hanya membawa kepada masalah pembaziran. Tidak salah untuk menghias rumah bagi tujuan ziarah, namun tidak perlu berlebihan kerana suasana raya hanyalah seketika dan wang yang ada boleh digunakan untuk perkara lain yang lebih berfaedah.
Bagi mereka yang ingin beraya di kampung, pasti suka menunjuk-nunjuk pada rakan yang lain bahawa diri sudah ada kereta baru. Realitinya, kereta yang dibeli bukanlah semuanya baru, malahan hanya ‘secondhand’ saja. Apabila tiba waktu sebelum raya, berduyun-duyun anak muda yang hadir ke bank dan buat pinjaman untuk beli kenderaan.
Lebih-lebih lagi apabila banyak kedai kereta yang menawarkan promosi harga kereta murah. Tidak mustahil ramai anak muda yang terburu-buru membeli kereta baru, walhal kereta lama masih boleh berfungsi. Walaupun duit hanya cukup-cukup makan, itu tidak menghalang remaja berbelanja lebih. Memang betul kereta baru tampak lebih cantik dan elok pada hari lebaran, namun jika tidak mengikut perbelanjaan yang betul, pasti mengundang masalah untuk membayar balik ansuran bulanan.
Buat penelitian
Tidak salah untuk berhias tapi ingat, harus berpada-pada. Bukan alasan untuk menjadikan hari raya sebagai hari ‘semua baru’. Kalau nak diikutkan, tidak cukup wang untuk membeli semua yang diinginkan. Oleh itu, belajar bersyukur dan berpada-pada ketika berbelanja. Tidak perlu membeli yang berjenama dan mahal, sebaliknya hanya beli barang yang kurang mahal tapi nampak cantik di mata.
Bersederhana tidak bermaksud kekurangan. Berjimat adalah lebih dituntut daripada membazir pada perkara yang tidak patut. Realitinya, bukan semua baju raya digayakan sepanjang masa. Ada saja remaja yang memakainya hanya untuk seketika dan kemudian simpan dalam almari sehingga berhabuk. Justeru, tidak perlu berbelanja lebih pada sesuatu yang kurang diutamakan. Bermegah hanya membawa kepada kerugian diri sendiri.
Mudah saja untuk menahan nafsu daripada pembaziran, perlu atur perbelanjaan sebelum tibanya hari lebaran. Ini boleh mengelakkan masalah kecuaian seperti berbelanja secara terburu-buru. Aturkan perbelanjaan secara seimbang dan awal agar tidak ada masalah lain seperti lewat membeli barang dan sebagainya.
Akhir sekali, elakkan daripada bermegah dengan berlebihan. Buang sikap itu kerana ia hanya mengundang rasa dengki dan iri hati. Bukan saja ia menyebabkan anda dijauhi tapi juga merosakkan hubungan silaturahim dan memberikan tanggapan buruk orang lain terhadap anda.
0 comments:
Catat Ulasan