Rugi betul jika perut sudah buncit dan berat badan bertambah pada usia yang begitu muda. HAZRIL MDNOR rasakan bahawa disiplin perlu diterapkan ketika makan dan beriadah agar ia seimbang dan tidak berlebihan.
Setiap remaja terutamanya golongan lelaki pasti mengidam susuk tubuh yang sasa dan gagah. Namun, bagi mereka yang sudah semula jadi kurus, pasti cacat penampilan jika terdapat lemak di perut. Setiap kali menyarungkan baju untuk digayakan, perut kelihatan ‘besar’.
Kadangkala saiznya melampau sehingga boleh menyaingi wanita yang sarat mengandung. Penyakit ini lebih dikenali obesiti di bahagian tengah badan. Ia terjadi disebabkan lemak berlebihan di perut dan juga abdomen.
Penyakit ini bukan saja dihidapi oleh warga emas saja tapi juga remaja yang berumur seawal 20-an turut berdepan dengan masalah ini. Penulis percaya golongan lelaki pasti sedaya upaya menjauhi masalah itu kerana ia boleh memberikan imej yang buruk pada penampilan, sekali gus menyebabkan pasangan merasa tidak selesa dengan keadaan itu.
Percaya atau tidak, kebanyakan lemak yang terkumpul di perut berpunca daripada mereka sendiri yang sering mengabaikan gaya hidup sihat. Gen Y ingin mengupas isu ini dengan lebih meluas kerana masalah ini sebenarnya boleh menyebabkan kurang keyakinan diri dan seterusnya mencacatkan penampilan remaja lelaki dan tidak kurang mengongkong mereka untuk bergaya dan bebas.
Ketahui beberapa isu dan masalah yang timbul berpunca daripada penyakit ini.
Punca utama
Permasalahan utama berpunca daripada gaya hidup remaja yang tidak berdisiplin dan kurang mengambil berat akan gaya hidup sihat. Ini boleh dilihat daripada pola pemakanan dan rutin harian yang dilakukan. Misalnya, anda seorang yang memiliki kadar metabolisme yang rendah.
Pola pemakanan yang berlebihan dan juga pengambilan hidangan berkalori tinggi boleh menaikkan berat badan, sekali gus menyebabkan lemak terkumpul di badan. Antara sebab lain ialah kurang memberi perhatian pada aktiviti riadah yang boleh membakar lemak di perut.
Kerana kesibukan kerja dan kurangnya masa lapang, anak muda yang menghadapi masalah ini leka untuk menetap masa yang sesuai untuk bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat. Selain itu, kitaran tidur yang tidak stabil juga mendorong kepada permasalahan ini.
Lebih-lebih lagi apabila demam Piala Dunia kini melanda, pasti sukar untuk menetapkan rutin tidur yang betul dan terkawal termasuk mereka yang turut menghidapi penyakit insomnia. Tekanan, bil dan juga kerenah anak, apa saja punca tekanan yang terlampau banyak menyukarkan anda menurunkan berat badan terutamanya di bahagian tengah.
Hormon ‘kortisol’ yang muncul daripada tekanan melampau juga boleh meningkatkan jumlah lemak dalam badan dan pada masa sama membesarkan sel lemak.
Menurut kajian, individu yang gemar mengambil minuman berkarbonat sebanyak dua kali sehari akan meningkatkan saiz pinggang pada kadar lima kali ganda lebih cepat berbanding mereka yang jarang mengambil minuman berkenaan dalam seminggu.
Pendek kata, kandungan gula tinggi dalam minuman itu boleh meningkatkan selera makan anda. Hasilnya, anda akan makan lebih banyak daripada yang sepatutnya. Bagi sesiapa yang gemar menggunakan pinggan besar setiap kali makan, ini juga boleh mendorong kepada peningkatan lemak di perut.
Mana tidaknya, pinggan yang lebih besar pastinya boleh memuatkan lebih banyak lauk. Lebih teruk lagi, lauk yang diambil terdiri daripada makanan yang tinggi kalori dan kandungan lemak.
Cacatkan penampilan
Gelaran seperti ‘boyot’, buncit dan gempal sudah lama sebati dengan remaja yang mempunyai penyakit ini. Hakikatnya, lemak di bahagian perut sebenarnya mencacatkan keseluruhan penampilan seseorang. Walaupun bahagian atas tampak sedang dan tidak berisi, ‘kantoi’ di bahagian perut yang besar.
Ini mungkin menyebabkan anda lebih gemar membeli pakaian yang biasa-biasa saja dan sukar untuk menggayakan pakaian mengikut fesyen terkini. Lebih teruk lagi apabila terpaksa mengenakan pakaian yang mewah untuk ke majlis keramaian dan sebagainya.
Walaupun rupa paras sudah lengkap dengan jambang dan misai yang lebat, bahagian perut yang terbonjol ke depan pastinya merosakkan penampilan secara keseluruhan. Penulis yakin anda pasti mengalami kesukaran untuk mengenakan seluar yang bertepatan saiznya dengan perut anda yang besar.
Kadangkala, seluar yang dipakai akan menjadi ketat di bahagian perut ditambah lagi dengan pemakaian tali pinggang akan menyebabkan udara sukar untuk menghala ke bahagian perut. Kepincangan ini menyebabkan anda akan lebih kerap bernafas dan boleh menyebabkan tekanan darah meningkat.
Selain itu, pemilihan fesyen untuk digayakan juga terhad dan anda perlu memilih pakaian yang sesuai dengan saiz badan. Keadaan ini berlainan sekali jika dibandingkan dengan mereka yang lebih kurus dan mempunyai susuk tubuh yang sasa.
Apa saja pakaian mudah digayakan dan paling penting, mereka tidak perlu risau akan saiz pakaian kerana mempunyai tubuh badan yang ideal.
Ubah segera
Perkara pertama yang perlu dilakukan untuk menghilangkan lemak terkumpul itu adalah dengan mengurangkan kadar tekanan. Kajian saintifik membuktikan bahawa banyak mana pun senaman yang dilakukan diikuti diet yang seimbang, lemak di perut tidak akan hilang selagi anda menghadapi kadar tekanan yang tinggi.
Meminimumkan tekanan turut mengurangkan kadar kortisol dalam badan. Seterusnya, pastikan tidur sentiasa cukup untuk mengurangkan kadar pengeluaran lemak dalam badan. Bagi anda yang gemar berjaga malam, elakkan daripada lakukan rutin itu secara berterusan.
Kedua, bahagikan masa lapang dengan betul iaitu melakukan senaman kardiovaskular yang boleh membakar lemak seperti berjoging. Selain itu, amalkan pemakanan seimbang yang lebih kaya dengan protein dan kurang lemak. Amalkan juga pengambilan air masak sebanyak lapan gelas sehari untuk menyingkirkan toksin dalam badan.
Ketiga, tingkatkan keyakinan anda dengan mencari rakan yang mempunyai masalah yang sama. Jika ada rakan yang mempunyai matlamat sama, lebih mudah untuk mengatasi masalah obesiti yang anda hadapi kerana daya saing yang wujud antara kalian.
Proses berlumba-lumba untuk menurunkan berat badan akan menjadikan anda lebih bermotivasi, berdisiplin dan berhati-hati agar tidak tersalah diet. Perlu diingatkan, lemak di perut ini sebenarnya boleh mendorong kepada penyakit yang lebih serius seperti diabetes dan juga kanser.
Menghidap penyakit yang serius akibat kelalaian sendiri pada usia yang begitu muda adalah sangat merugikan. Terapkan motivasi pada diri untuk bergaya lebih bebas dengan fesyen terkini dan tidak ketinggalan zaman. Bayangkan diri anda selepas kehilangan lemak dan berat badan yang berlebihan.
Pastinya diri lebih bebas bergaya dan tidak perlu ada kemurungan serta rasa rendah diri lagi. Selamat berjaya.
0 comments:
Catat Ulasan