AHLI keluarga mangsa di pekarangan bilik mayat, semalam.
Alor Gajah: Seorang doktor lelaki yang sedang bertugas ditemui mati tanpa seurat benang dalam keadaan tertiarap di dalam tandas di Hospital Alor Gajah (HAG), di sini, semalam.
Difahamkan, mayat mangsa berusia 29 tahun itu ditemui pada jam 9 pagi oleh beberapa kakitangan hospital terbabit selepas membuka pintu tandas berkenaan yang berkunci dari dalam.
Menurut sumber, mangsa yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor, baru dua bulan ditugaskan di hospital itu dan kehilangannya disedari pada jam jam 8.30 pagi.
“Difahamkan, pada jam 6.30 pagi, mangsa menerima panggilan kecemasan dari wad kanak-kanak perempuan di hospital itu.
“Beberapa jam kemudian, beberapa kakitangan yang menyedari kehilangannya cuba mencari dan menghubungi mangsa sebelum memaklumkan kejadian kepada Pengarah HAG Dr Suraidah Karim,” katanya.
Menurutnya, selepas gagal membuka pintu tandas itu, mereka bertindak mengumpilnya sebelum menemui mangsa tertiarap tanpa seurat benang.
“Kakitangan hospital cuba memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa, namun dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Mohamad Laham berkata, mangsa dipercayai terjatuh dari mangkuk tandas dalam bilik air yang terletak di bilik doktor di hospital terbabit.
“Kali terakhir mangsa dilihat masuk ke dalam bilik doktor oleh kakitangan hospital pada jam 6.45 pagi, namun kira-kira jam 8.30 pagi, dia gagal dihubungi.
“Mangsa ditemui pada jam 9 pagi di dalam tandas bilik berkenaan oleh Dr Suraidah dan kakitangannya selepas mereka membuka pintu tandas itu,” katanya.
Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat HAG untuk dibedah siasat.
Ahli keluarga mangsa gagal ditemubual kerana mereka terlalu bersedih dan terkejut dengan kejadian berkenaan.
0 comments:
Catat Ulasan