“Heiiii! Kau jangan cuba hendak menyamarkan diri sebagai director. Walaupun rupamu tidak ku kenali, tetapi lobang hidungmu tetap menjadi pojaan hatiku!”
Barangkali dialog pelakon legenda Datuk Aziz Sattar dalam filem Seniman Bujang Lapok terbitan 1961 itu paling ramai diingati peminat filem Melayu.
Dialog ketika babak Aziz bersama Ramlee (lakonan Tan Sri P Ramlee) dan Sudin (S Shamsuddin) menghadiri sesi uji bakat bersama pengarah Ahmad Nesfu di Studio Jalan Ampas, Singapura ini boleh dikatakan dihafal empat generasi rakyat Malaysia terutamanya peminat filem P Ramlee hingga hari ini.
Malah, ia mungkin akan terus diingati hingga puluhan tahun akan datang.
Itulah penangan lakonan hebat Aziz atau lebih mesra dengan panggilan Pak Ajis.
Sejak filem pertama Putus Harapan pada 1953 hingga yang terakhir Kecoh Betul pada 2010 yang juga filem ke-44 lakonannya, tiada siapa boleh menafikan lakonan berke–sannya berganding dengan P Ramlee dan S Shamsuddin dalam filem Bujang Lapok pada 1957, Pendekar Bujang Lapok (1959), Ali Baba Bujang Lapok (1961) dan Seniman Bujang Lapok (1961).
Apa yang pasti, trio Bujang Lapok adalah pelakon komedi paling serasi dan paling hebat pernah dilahirkan industri perfileman Melayu sejak 60 tahun lalu.
Empat filem inilah yang menyerlahkan bakat komedi Aziz hingga diangkat sebagai salah seorang pelakon legenda.
Kini Pak Ajis sudah tiada. Seniman legenda ini sudah pergi menghadap Ilahi dalam usia 89 tahun akibat penyakit jantung di Hospital Kajang, kira-kira jam 2 pagi semalam.
Pemergian Aziz juga menyaksikan beliau adalah trio Bujang Lapok terakhir yang meninggal dunia selepas P Ramlee pada 29 Mei 1973 dan Shamsuddin pada 4 Jun tahun lalu.
Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan malam Ahad lalu selepas diserang sakit jantung sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi dua anak, menantu dan seorang cucunya awal pagi semalam.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumahnya di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussein Onn kira-kira jam 2 petang semalam.
Allahyarham atau nama sebenarnya Abdul Aziz Sattar dilahirkan pada 8 Ogos 1925 di Surabaya, Indonesia.
Sejarah hidup Aziz di Tanah Melayu bermula ketika berusia tiga tahun apabila dia mengikut ayahnya Sattar Sawal dan ibunya Satimah Jalal berhijrah ke Singapura pada 1928.
Beliau yang mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura dibesarkan di Kampung Pasir Panjang dan di situlah beliau mempunyai dua kawan rapat yang turut menjadi pelakon terkenal iaitu Salleh Kamil dan Shariff Dol.
Dalam pelajaran, Aziz hanya belajar hingga darjah lima dan tidak dapat menyambung pelajarannya ketika zaman pendudukan Jepun di Malaya.
Pada usia seawal 10 tahun, bakat seninya mula menyerlah apabila kerap menyanyi dan menari di majlis perkahwinan di kampung.
Ketika berusia 15 tahun, Aziz pernah diseksa tentera Jepun kerana dituduh mencuri. Malah, beliau pernah dipenjara selama enam bulan bersama bapa Seniwati Roseyatimah iaitu Wak Jasni kerana disyaki terbabit dalam kes rusuhan Natrah di Singapura pada 1950.
Kehidupan Aziz mula berubah pada 1952 apabila beliau diajak dua teman sekampungnya bekerja di studio Malay Film Productions sebagai juru alihsuara. Pada 1953, beliau dipelawa berlakon sebagai watak tambahan dalam filem Putus Harapan. Filem pertama beliau membawa watak penting adalah Arjuna, diikuti siri Bujang Lapok dan Aksi Kucing.
Beliau juga adalah salah seorang anggota Panca Sitara pada 1990-an, bersama Datuk Ahmad Daud, Normadiah, Aziz Jaafar dan Nasir P Ramlee.
Selain berpuluh-puluh filem lakonannya, beliau juga pernah mengarah filem seperti Keluarga Si Comat (1975), Si Badol (1979), Prebet Lapok (1979), Penyamun Tarbus (1980), Da Di Du (1981), Setinggan (1982) dan Darah Satria (1993).
Pada 2007, Aziz menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang membawa gelaran Datuk.
Dalam kehidupannya, Aziz pernah berkahwin empat kali, tetapi hanya dua pernikahannya yang lebih diperkatakan iaitu bersama isteri ketiga Siti Rumina Ahmad (bercerai) dan isteri keempat, pelakon Dayang Sofia (bercerai).
Hasil perkahwinannya beliau dikurniakan tujuh anak, 19 cucu dan lima cicit.
Pada 16 Disember 2006 beliau berkahwin dengan Hashimah Delan di Masjid Sultan Abdul Aziz, Shah Alam.
Watak mak nyah tua
Walaupun sudah bertaraf pelakon legenda, Aziz Sattar tetap menerima tawaran berlakon walaupun ia hanya membabitkan satu babak.
Semuanya adalah kerana minat yang begitu mendalam dalam bidang lakonan.
Pada 2004, dia menerima pelawaan pengarah berbakat Shah–rulezad Mohameddin melakonkan watak sebagai mak nyah tua yang insaf dan hidup melarat dalam drama Sutun.
“Saya tawarkan watak itu kepada Pak Ajis kerana dia selalu membuat gaya-gaya lembut dan ramai orang sukakannya.
“Saya tak sangka beliau terima watak itu dan berlakon dengan bersungguh-sungguh walaupun hanya satu babak,” kata–nya.
Shahrulezad berkata, dia kagum dengan semangat Aziz yang ditunjukkannya apabila sanggup memandu sendirian dari Kuala Lumpur ke Muar, Johor semata-mata untuk menjayakan babak itu.
“Penggambaran babak itu dilakukan pada waktu malam. Pak Ajis tiba di lokasi dengan memandu kereta Proton Iswara pada sebelah petang dan pulang semula ke Kuala Lumpur selepas tamat penggambaran pada jam 11 malam,” katanya.
Menurutnya, dia melarang Aziz pulang pada malam itu dan sudah menyediakan bilik untuknya tetapi beliau tetap mahu pulang malam itu juga.
“Saya bimbang kerana hari sudah lewat malam dan dia pula memandu sendirian. Beliau memang seorang yang kuat dan bersema–ngat,” katanya.
Jenazah Allahyarham jadi tumpuan
Pemergian Aziz Sattar sememangnya amat dirasai terutama dalam kalangan selebriti tempatan.
Sejak awal pagi semalam, ramai selebriti memuat naik gambar seniman legenda itu di Instagram, Twitter dan Facebook masing-masing mengutuskan salam takziah serta menyedekahkan surah al-Fatihah.
Antaranya ialah Datuk Rosyam Noor, Erra Fazira, Raja Azura, Nad Zainal, Zakiah Anas, Soo Wincci, Syafie Naswip, Tam Suhaimi dan ramai lagi.
Dalam pada itu, rumah Allahyarham di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras turut dikunjungi ramai selebriti bagi memberi penghormatan terakhir semalam.
Antara yang hadir ialah Datuk Mustapha Maarof, Datuk Sarimah, Datin Rosnani Jamil, Datuk Maria Menado, Datuk Rosyam Nor, Hans Isaac, Melissa Saila, Jehan Miskin, Nassier Wahab, Datuk Aziz Singah, AR Badul, A Galak, Datuk M Nasir, dan Datin Marlia Musa.
Dengan itu 3AJ Studios & Entertainment membuat sebuah video tribute khas untuk Allahyarham Aziz Sattar untuk kenang-kenangan kita semua.
0 comments:
Catat Ulasan