Ruang di usia muda adalah masa peralihan sementara daripada zaman kanak-kanak kepada dewasa. Walaupun tempohnya tidak lama tetapi banyak yang perlu dihadapi dan dikawal bagi mengelakkan diri hanyut tanpa sedar. Remaja adalah kelompok individu kompleks kerana dipercayai banyak perubahan berlaku pada diri kita.
Mungkin ramai antara rakan ataupun kita pernah digelar ‘psiko’ kerana tindakan yang dilakukan dirasakan aneh atau tidak normal seperti orang lain. Tidak kira sama ada cara bertutur, kawal emosi, gilakan sesuatu barang ataupun sukakan seseorang pastinya wujud punca untuk dia dilabel psiko.
Pada 2012, kes penderaan kanak-kanak meningkat kepada 285 kes (17.8 peratus) berbanding 242 pada 2011 menurut Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM). Melalui laporan media pada 2013, dalam tempoh dua tahun, mangsa penderaan paling tinggi adalah kanak-kanak berusia satu hingga tujuh tahun iaitu 136 tahun lalu berbanding 117 pada 2011. Penderaan kanak-kanak yang dimaksudkan bukan hanya merujuk kepada kecederaan fizikal atau emosi mahupun penganiayaan seksual tetapi juga membabitkan pemerkosaan atau rogol. Dibuktikan di sini, jumlah individu yang mempunyai masalah psikologi ini makin bertambah. Apa sebabnya?
Apa ertinya?
Perkataan psikologi (psychology) berasal daripada gabungan dua perkataan Greek iaitu psyche (psiko) yang membawa maksud jiwa, rohani atau mental dan -logos (-logi) yang bermakna kajian. Sebagai satu perkataan, ia membawa maksud kajian jiwa, mental atau rohani manusia.
Daripada definisi itu, kita boleh membahagikan psikologi kepada beberapa bahagian. Pertama, psikologi sebagai satu kajian yang saintifik bermakna kajian yang dilakukan dalam disiplin psikologi menggunakan kaedah penyelidikan yang saintifik seperti kaji selidik, peninjauan, pemerhatian dan kes kajian.
Kedua, psikologi mengkaji tingkah laku manusia. Tingkah laku manusia ialah perbuatan yang boleh kita lihat. Dalam erti kata lain, semua tingkah laku ini di dalam bentuk lampau (overt behavior) seperti berjalan, makan, memandu, menerajang dan memukul.
Ketiga, pakar psikologi juga menjalankan kajian ke atas proses mental manusia yang lebih dikenali sebagai tingkah laku terselindung (covert behavior). Ini sesuatu tingkah laku yang tidak dapat kita lihat seperti bayangan, perasaan, mimpi, fantasi dan khayalan. Namun, kebiasaannya seseorang individu yang digelar psiko atau psikopat (individu yang terkesan disebabkan masalah psikologi) sering dikaitkan dengan masalah daripada segi tingkah laku iaitu merujuk kepada definisi kedua.
Satu daripada 3% manusia adalah psikopat
Jessica Fellowes dalam buku karyanya bertajuk ‘Is There a Psycho in Your Life?’ menyatakan secara dasarnya, seseorang psiko itu adalah individu memiliki sikap ego tinggi, tidak mempedulikan orang lain. Manakala, erti hidup baginya ibarat sebuah permainan dan apa yang ada di kepalanya adalah ‘ingin menang’ walaupun dalam apa saja isu.
Selaku ahli psikologi, Jessica yang bekerja di bahagian jenayah psikopat selama 20 tahun berkata, kebanyakan daripada mereka yang sukar mengawal masalah ini berakhir di penjara. Menurutnya, tidak tahu kawal emosi dan tekanan mendorong kepada kes pembunuhan, kekerasan dan penipuan.
“Dianggarkan, satu daripada tiga peratus populasi manusia menunjukkan kecenderungan gangguan masalah mental. Maksudnya di sini, jika anda memilik 100 rakan, kemungkinan besar seorang daripadanya adalah ‘psiko’. Jangan khuatir, mereka mungkin tidak melakukan tindakan jenayah tetapi secara emosinya, mereka ini berbahaya bahkan lebih menakutkan jika pasangan anda juga seorang psikopat,” katanya.
Ada berpendapat, individu yang mengalami masalah ini tidak menyedari dirinya psiko, malah akan mudah berang jika tindakannya ditegur kerana dilihat salah atau sebagainya. Mungkin bagi kita, seseorang yang mudah marah atau setiap kali bertemu, dia dalam keadaan marah membuatkan kita terfikir dia mempunyai masalah psikologi. Mungkin ada benarnya kerana jika dibiarkan berlarutan akan timbul masalah lain kelak.
Ciri psikopat
Dari segi saintifiknya, terdapat ciri terperinci sebelum kita layak melabel seseorang psikopat namun bagi remaja zaman sekarang, kita akan lebih mudah menggelar rakan dengan gelaran psiko jika merasakan dia menjengkelkan ataupun melakukan sesuatu menjauhi garisan norma kehidupan sebenar.
Dalam kes jenayah, psikopat dikenali sebagai pembunuh , perogol dan perosak (curruptor) . Namun, ini hanya 15 hingga 20 peratus daripada jumlah psikopat secara keseluruhan. Selebihnya adalah peribadi yang berpenampilan sempurna, pandai bertutur kata, mempesona, mempunyai daya tarik luar biasa dan menyenangkan.
Ciri seseorang yang mengalami masalah psikologi biasanya boleh dilihat daripada peringkat awal iaitu belasan tahun manakala masalah mental selalunya sukar dikesan. Bagi masalah personaliti antisosial, antara ciri-ciri yang boleh dilihat ialah lari dari rumah atau sekolah, tiada belas kasihan terhadap haiwan, memaksa seseorang melakukan hubungan seks dan mereka gemar melanggar peraturan.
Contohnya jika remaja itu sering terbabit dalam pergaduhan dan tidak mempunyai rasa takut, ia mungkin tanda-tanda untuk menjadi personaliti antisosial. Segelintir mat rempit juga dipercayai mempunyai ciri-ciri itu kerana tidak mempunyai rasa takut dan agresif, malah mereka juga mungkin sukar tidur, gemar menyendiri dan bercakap seorang diri.
Ada kes mereka didera atau dibuli dari kecil menyebabkan keyakinan diri dan ego mereka terencat. Justeru, apabila menginjak dewasa, mereka yang asalnya mangsa mencari mangsa lain yang boleh dibalas. Sebab itu peranan keluarga amat penting dalam membentuk peribadi anak-anak daripada peringkat awal.
Terapi diri
Pencegahan lebih baik daripada merawat. Menurut pensyarah yang juga pakar psikiatri Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM) Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari, semuanya bermula daripada rumah sejak daripada awal.
Daripada pengamatan dan pengalaman yang kita dapat, ada beberapa cara yang paling efektif untuk mengatasi gangguan psikologi atau penyakit mental. Mungkin kedengaran sedikit pelik namun ada kajian mendapati wujud tindak balas positif daripada terapi ini. Berjumpa pakar kaunseling, berbincang dengan orang yang rapat antara jalan terbaik namun ada pilihan lain untuk kita.
Kita akan menganggap hal ini biasa jika berlaku dalam kalangan orang rapat dengan kita, mungkin tanggapan selagi dia tidak mencederakan orang lain kita menganggap ia isu remeh. Namun percayalah, jika dibiarkan berlarutan akan ada buruknya. Kes vandalisme, buli, merompak, mencuri, meragut, merogol yang dilakukan anak muda bahkan ada antaranya dilakukan penjenayah kanak-kanak membuktikan masalah psikologi ini boleh menjurus kepada keadaan negatif. Ambil masa untuk kaji dan fahami isu ini lebih mendalam. Tak salah luangkan sedikit masa untuk lebih mengenali diri, mendalami kekuatan dan kelemahan supaya kita lebih mudah mengatur emosi untuk tampil sebagai manusia yang lebih bagus personaliti.
0 comments:
Catat Ulasan