Blog Yang Memaparkan Isu Isu Semasa Yang Tular (Viral)

18 Mac 2014

Kenal pasti konsert bersifat negatif


Insiden yang meragut enam nyawa penonton akibat pengambilan dadah berlebihan di konsert Future Music Festival Asia 2014 (FMFA2014) yang berlangsung di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, awal pagi Sabtu lalu memang mengejutkan.

Paling menyedihkan, mangsanya yang terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita berusia 19 hingga 27 tahun itu disebabkan pengambilan dadah secara berlebihan di mana mereka dipercayai mengambilnya ketika berhibur di konsert itu. 

Apa yang pasti, kejadian itu membuatkan orang ramai mencemuh penganjur iaitu Livescape Asia kerana membiarkan penonton membawa masuk bahan terlarang itu. 

Cemuhan dan kritikan yang dilemparkan sekali gus mencemarkan kredibiliti penganjur terbabit termasuk penganjur lain yang pasti akan dipandang serong apabila menganjurkan konsert selepas ini.

Dalam pada itu, rata-rata penggiat seni di negara ini turut melahirkan perasaan sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku.

Bagi mereka, tragedi ini sepatutnya mampu dielakkan jika semua pihak sedar tanggungjawab dan peranan masing-masing. 

Presiden Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim yang pernah terbabit menjayakan pelbagai konsert besar berkata, perkara ini diketahuinya menerusi berita dan ia sangat mengejutkan. 

“Kalau melihat pada konsert ini, muziknya terarah pada konsep electronic dance, trance dan kebanyakan konsert begini ada berkaitan dengan dadah dan pil khayal. 

“Ia berlainan dengan konsert rock kerana jika ada penggunaan dadah, kesannya tak ketara. Dadah yang digunakan dalam konsert sedemikian lebih kepada sintetik. 

“Selalunya untuk konsert begini mereka lebihkan penggunaan muzik kerana penyanyinya tak mampu menyanyi dengan baik. 

“Dalam hal ini ada beberapa tindakan perlu diambil iaitu kurangkan penganjuran dengan cara mengawalnya atau tidak benarkan langsung,” katanya yang juga Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM). 

Norman bagaimanapun meminta agar semua pihak jangan menghukum dan memandang negatif penganjuran semua konsert kerana justifikasinya sangat berbeza. 

“Konsep pop atau rock sangat berlainan dengan konsert electronic dance dan trance. Kalau ada pun penggunaan dadah, kesannya tak ketara. Electronic dance dan trance sebenarnya lebih kepada gaya muzik terkini yang berkaitan dengan dadah. 

“Biarpun penganjur sudah menetapkan syarat-syarat agar penonton bebas dadah, pengedar tetap pergi untuk menjual kerana permintaan memang tinggi di situ. 

“Saya serahkan pada kerajaan untuk buat keputusan bijak sama ada kawal atau berhentikan terus konsert begini kerana kesannya buruk pada masyarakat,” katanya. 

Penyanyi kumpulan Lefthanded, Nash berkata, insiden menyedihkan itu tidak pernah terjadi pada zaman mereka di era 1980-an kerana pemantauan ketat oleh pihak polis. 

“Tidak pernah berlaku kematian akibat penonton mengambil dadah. Malah, penjualan arak juga tak dibenarkan apatah lagi bahan-bahan terlarang seperti dadah. 

“Saya berharap penganjur konsert selepas ini perlu lebih berhati-hati dengan penonton yang sudah pasti datang awal. Jadi, penganjur boleh memantau tingkah laku mereka dari awal dan ambil tindakan drastik dengan melaporkan pada pihak berkuasa secepat mungkin,” katanya. 

Nash berkata, sebagai rakyat Malaysia dan juga bapa, dia amat sedih dengan apa yang berlaku terutama membabitkan kematian anak-anak remaja disebabkan dadah. 

“Semoga apa yang berlaku ini menjadi pengajaran khususnya kepada remaja di negara kita. Janganlah kita cemari hidup ini dengan gejala sosial yang tak mendatangkan faedah untuk agama, bangsa dan negara,” katanya. 

Haiza yang popular dengan genre dangdut berkata, insiden itu berlaku disebabkan penonton menyalahguna hiburan itu sendiri. 

“Bukannya tak boleh berhibur secara sihat. Manakala pihak penganjur kena lebih berhati-hati dan perlu pastikan penonton tak bawa segala benda yang menyalahi undang-undang. 

“Saya tak pasti kes sebegini pernah berlaku atau tidak dulu, tapi remaja dan penonton dulu tidak ‘seberani’ remaja sekarang,” katanya. 

Dalam pada itu, penyanyi kumpulan Laksamana, Nizam menyifatkan penganjuran konsert dulu lebih terkawal berbanding sekarang. 

“Tak dinafikan dulu ada yang berlaku liar tapi taklah sampai ada yang mati atau ‘overdose’. Sekarang saya lihat penganjuran konsert terlalu ikut budaya Barat. 

“Jangan senang-senang meluluskan konsert yang tajuknya saja kita boleh tahu pengakhirannya. Penganjur wajib ingat kemungkinan yang bakal berlaku sekiranya dianjurkan dan pihak yang meluluskan permit wajib meneliti kesan yang akan berlaku,” katanya.
Share:

0 comments:

Page Views

Viral Vision Media Co.. Dikuasakan oleh Blogger.
Propellerads

FEMES BLOG

KISAH SERAM !

TONTON INI