Blog Yang Memaparkan Isu Isu Semasa Yang Tular (Viral)

27 April 2014

Estranged GEGAR negara Jepun ! !


Pengalaman menja­yakan lima persembahan di tiga kota besar Jepun sangat bermakna buat band Estranged. Kembara seni selama 10 hari bermula 12 April lalu meninggalkan banyak memori manis, apatah lagi ia menjadi jambatan untuk memperluaskan bakat ke negara matahari terbit itu.

Atas undangan band Dazedgarden, Estranged yang dianggotai Richael Lawrence Gimbang atau Rich selaku vokalis, Solihuddin Hormat (Din Hormatov/gitar), Nor Hanafi (gitar utama) dan Azwin Andy Malik (dram) turut berpeluang merasai pengalaman baru menyertai penganjuran sistematik dan efisyen.

Rich berkata, setiap band yang bakal ber­aksi perlu mengisi borang sistem audio dan lampu. Malah, mereka diminta memberi maklumat terperinci mengenai lagu yang akan dipersembahkan, durasi setiap lagu, rentak muzik dan warna cahaya lampu yang di­inginkan untuk setiap lagu.

Band juga perlu memaklumkan apa yang bakal dibicarakan vokalis dengan penonton sepanjang persembahan.

“Di sana masa sangat berharga. Semua yang terbabit dalam gig akan datang tepat pada masanya. Setiap band diperuntukkan sesi latihan selama 30 minit, tidak kurang tidak lebih.

“Segala-galanya berjalan mengikut masa ditetapkan. Walaupun tidak ramai penonton hadir, mereka akan mulakan persembahan. Melihat cara mereka bekerja buat kami rasa kagum,” katanya yang kali pertama mengadakan persembahan di luar negara.

Rich turut berkongsi rasa terharu apabila Dazedgarden sudi mengundang Estranged menjayakan persembahan jelajah itu. Bermula dengan jelajah pertama di Labo Yoyogi, Tokyo pada 14 April, mereka dibawa ke Nagoya, diikuti Osaka dan kemu-dian ke Tokyo semula pada 20 April.

“Bagi pencinta muzik indie di Jepun, nama Dazedgarden tidak asing lagi. Kami sangat terhutang budi de­ngan kepercayaan diberikan band itu. Bersama mereka, kami menjayakan persembahan jelajah di Tokyo, Nagoya dan Osaka.

“Selepas persembahan di Labo Yoyogi, kami bergerak ke Nagoya menggunakan van yang disewa khas. Perjalanan itu mengambil masa lebih empat jam.

“Selesai persembahan di Nagoya pada jam 12 malam, kami meneruskan perjalanan ke Osaka yang memakan masa tiga jam.

“Jadual kerja kami bermula selepas makan tengah hari. Sesi latihan bermula jam 2.30 petang dan persembahan gig bermula tepat jam 6.30 petang. Setiap band diberi masa 40 minit untuk menghiburkan penonton,” katanya.

Entranged turut berkongsi rasa terharu apabila penganjur, Funky Sueyoshi yang juga pemain dram sessionis, mengundang mereka me­njayakan persembahannya pada 19 April berikutan kagum dengan persembahan band itu. Pelawaan itu disambut dengan tangan terbuka, apatah lagi pada tarikh berkenaan mereka tiada persembahan.

Betapa teruja­nya mereka kerana pada hari persembahan dapat berkongsi pentas dengan ramai pemuzik terkemuka, antara mereka vokalis band Loudness, Minoru Niihara, Kozo Suganuma (pemain dram), Hojin Egawa (pemain bass) dan pemain gitar yang hilang penglihatan ketika berusia lima tahun, Hiroaki Tagawa.

“Seronok apabila dapat menjalin persahabatan de­ngan pemuzik handalan Jepun. Kami juga gembira apabila penonton sama datang menyaksikan gig di beberapa lokasi.

“Pencinta muzik di sana sangat ‘sporting’. Baik lelaki mahupun perempuan, semua sangat bertenaga menari, melompat dan bertepuk tangan.

“Perbezaan bahasa tidak menghalang mereka berhibur. Koleksi lagu yang kami sampaikan adalah Borneo, Yang Pernah, Chocolate Syrup, Velocity, The Slave In Us, In No Time dan Dances Of The Spirit.

“Maklum balas positif penonton buat kami rasa bersemangat, malah mereka membeli album kami, Remain Unknown, Anugerah Hidup dan Greatest Hits,” katanya.
Share:

0 comments:

Page Views

Viral Vision Media Co.. Dikuasakan oleh Blogger.
Propellerads

FEMES BLOG

KISAH SERAM !

TONTON INI